Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Monday, June 8, 2009

Sukan dari Perspektif Islam

Bersukan bukanlah aktiviti yang asing bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan kekuatan fizikal bagi menghadapi musuh-musuh Allah. Firman-Nya :

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, (dengan persediaan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
&nb sp;& nbsp;(al-Anfaal, 8 : ayat 60)

Selain itu, terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Allah lebih menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah. Malah terdapat juga hadis Rasulullah S.A.W yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda. Hal ini turut diberi penekanan oleh Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyah al-Aulad sebagai salah satu bentuk pendidikan awal kepada kanak-kanak dari sudut pembinaan kekuatan fizikal. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa Islam juga sangat menitik beratkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.

Justeru, bersukan amat penting dalam kehidupan seorang muslim.Walau bagaimanapun, terdapat syarat-syarat tertentu yang telah digariskan oleh Islam supaya tidak melanggar batas-batas syarak ketika bersukan. Pertama, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah diniatkan ikhlas kerana Allah demi menjaga nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah. Selain itu, aktiviti sukan yang diadakan tidak boleh melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan batasan aurat yang perlu dijaga antara mereka melalui cara pemakaian yang sesuai dan pergaulan.

Namun, fenomena dewasa ini memperlihatkan umat Islam yang terdiri daripada golongan atlet mahupun orang awam sendiri tidak menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai Islam ketika bersukan. Sebagai contoh mereka masih mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat seperti berseluar pendek dan berpakaian ketat serta jarang. Malah terdapat acara yang disertai oleh kaum wanita disaksikan juga oleh kaum lelaki.

Oleh yang demikian, satu anjakan paradigma perlu dilakukan bagi mengislahkan keadaan ini.. Pakaian renang bagi muslimah yang telah pun dipasarkan antara alternatif terbaik bagi membolehkan muslimah terlibat dengan sukan akuatik dan ini merupakan satu usaha yang harus dipuji dalam menerapkan nilai-nilai Islam yang bersifat syumul, dinamik dan fleksibel. Selain itu, bagi mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita, penganjuran sukan yang hanya melibatkan kaum wanita perlu diadakan seperti Nisa Games.

Seja o primeiro a comentar

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO