Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Thursday, September 4, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelummu agar kamu bertaqwa”.

[ Surah al-Baqarah : 183 ]

Assalamualaikum w.b.t. dan salam muhibbah,

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya, kita dipanjangkan usia dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan al-Mubarak.

Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.Ia melatih setiap anggota tubuh melakukan amal ibadah dan menghindar maksiat.Bukan sahaja setakat bulan Ramadhan malah sepanjang tahun yang mendatang.

Sesungguhnya kedatangan Ramadhan menjanjikan pelbagai tawaran, ganjaran dan kelebihan bagi jiwa, jasad mahupun mental setiap Muslim. Antaranya ialah melalui amalan bersahur, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan ”.Menerusi hadis ini, bersahur dikaitkan dengan keberkatan yang bermaksud rahmat dan keredhaan Allah.

Tidak ketinggalan, amalan sunat seperti bertadarus, solat sunat tarawih dan berqiamullail dapat menambahkan pahala yang berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini. Tambahan pula, tawaran mendapatkan keberkatan malam Lailatulqadar sentiasa terbuka luas.

Menerusi hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “ Allah telah berfirman,Setiap amalan anak Adam itu baginya ( ganjaran pahala yang ada hadnya ), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar.Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan : ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya “.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Justeru, marilah kita tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa kita. Mudah-mudahan objektif ketaqwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar dapat dicapai dan dihayati. Rebutlah setiap masa dan peluang di bulan penuh keberkatan ini untuk melakukan amal ibadah kerana kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu semula dengan Ramadhan atau sebaliknya.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM “

IZZAT AMIN MOHD NASIR
YDP PMAPIUM 08/09

Wednesday, September 3, 2008

Agenda Bulan Ramadhan 1429 H


Alhamdulillah marilah kita mengatur rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati perasaan untuk berada di dalam Bulan Ramadhan pada tahun ini. Inilah peluang untuk membersihkan diri dan mendidik hati agar terus mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Sukarlah saya memfokuskan peringatan kepada perancangan pada Bulan Ramadhan bagi tujuan peningkatan diri dan mengembangkan potensi untuk menjadi hamba Rabbani. Ada beberapa perkara yang perlu kita lihat dan check dalam senarai semak perancangan Ramadhan kita. Kita lihat sama-sama :

1] Niat – Pasang niat dan berazam untuk menjadikan Ramadhan ini yang terbaik.
2] Banyakkan bertaubat dan istighfar. Memohon agar Allah SWT ampun segala dosa.
3] Al-Qur’an – Memperbanyakkan membaca Al-Quran. Tadabbur dan hayati makna.
4] Zikrullah sentiasa dilazimi dimana sahaja kita berada.
5] Jadikan Ramadhan sebagai Bulan Dakwah.
6] Solat Sunat Tarawih diperbanyakkan dan kalau boleh jangan ditinggalkan.
7] Banyakan bersabar dan bersabar.
8] Latih untuk banyak berinfaq.
9] Pergiatkan ibadah pada 10 malam terakhir dan beriktikaf.
10] Jaga kesihatan dengan baik. Kurangkan makan dan minum.

Sedikit Pesanan : “ Jadilah Hamba Allah bukannya Hamba Ramadhan.”

Tuesday, September 2, 2008

Ingatan untuk mendapat yang TERBAIK


Boleh Save dan print dan edarkan kepada rakan-rakan..



Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga APIUM daripada Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM)

Sunday, August 31, 2008

Hakikat Merdeka

Assalamualaikum w.b.t dan salam kemerdekaan,

Tanggal 31 Ogos menjelma lagi. Tarikh keramat yang saban tahun mengisi kalendar sebagai tarikh kemerdekaan tanah air tercinta kita, iaitu Malaysia.Pelbagai kejayaan,kegemilangan dan perubahan telah dilakar seiring usia kemerdekaan yang menganjak ke 51 tahun ini.

Maka, sejajar dengan kematangan usia ini seharusnya bangsa Malaysia khususnya umat Islam tidak terleka,cuai atau lalai dalam arus globalisasi masa kini. Kemerdekaan yang kita kecapi kini bukan sahaja perlu dipertahankan malah kita perlu mengelakkan dari ancaman penjajahan fizikal, pemikiran dan jiwa. Bukan sahaja sekadar sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang untuk tempoh tertentu, siaran program dan rancangan televisyen berkaitan kemerdekaan, konsert-konsert hiburan dan laungan ‘merdeka’ di Dataran Merdeka semata-mata. Oleh itu, peluang mengecapi kebebasan ini wajib diisi dan dihayati dengan bijaksana dan penuh kebertanggungjawaban.

Selaku mahasiswa Islam, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa masyarakat mengharapkan kita untuk menjadi pencorak masa hadapan yang lebih gemilang. Namun, siapa yang harus dipersalahkan apabila wujud segelintir mahasiswa Islam yang menonjolkan imej bangsa penjajah, mengamalkan gaya hidup dan pemikiran Barat, terjebak dengan dunia dadah dan pelacuran lantas hilang langsung identiti serta semangat cintakan Allah dan rasulNya.Kita susuri kembali hakikat sebenar merdeka bagi seorang muslim.Hakikat sebenar merdeka itu adalah apabila seorang muslim itu tunduk dan patuh kepada perintah Allah .Di dalam hatinya hanya ada Allah. Merdeka bagi seorang muslim adalah apabila dia berjaya memerdekakan dirinya daripada perhambaan kepada manusia yang zalim dan tuntutan-tuntutan duniawi yang melalaikan. Malah merdeka bagi seorang muslim juga adalah apabila menjadi ’abdun yang soleh dan berjaya menundukkan dirinya kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, marilah kita membina kehebatan dalam nilaian dan pandangan Allah.Apalah gunanya kita membina kehebatan dan kemerdekaan di mata manusia,sedangkan di pandangan Allah kita merupakan insan yang jelik dan hina di atas jenayah, dosa dan noda yang kita lakukan di atas muka Bumi ini. Akhir kata, renung-renungkan kembali dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM”

IZZAT AMIN BIN MOHD NASIR

YDP PMAPIUM SESI 08/09

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO