Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Thursday, May 28, 2009

MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI DAN POTENSI DIRI


Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir pada hari pertama penganjuran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Karnival tersebut yang dianjurkan selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei lalu disertai oleh lebih 600 buah syarikat yang menawarkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan untuk direbut graduan. pada hari ini, dianggarkan terdapat lambakan lebih 60,000 graduan yang sekurang-kurangnya memiliki ijazah dan diploma yang masih belum mempunyai sebarang pekerjaan selepas tamat pengajian. Angka-angka ini jelas membuktikan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini masih berada pada tahap membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Fenomena yang disebutkan di atas juga turut melibatkan sebahagian daripada para graduan yang mengambil jurusan dalam bidang pengajian Islam. Persoalan yang timbul di sini ialah mampu kah para graduan ini bersaing untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja yang semakin terhad pada hari ini? Dan apakah segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas selama beberapa tahun di universiti masih belum dapat menjanjikan pekerjaan kepada mereka?.

Realitinya, fenomena ijazah susut nilai sudah tidak dapat disangkal lagi. Sesebuah organisasi dan majikan sama ada dari sektor kerajaan atau swasta pada hari ini bukan sahaja melihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang sahaja, tetapi mereka lebih menitikberatkan kepada lima ciri penting iaitu kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri, personaliti, pengalaman dan kemahiran khusus yang lain (soft skill).

Para mahasiswa seharusnya memperlengkapkan diri mereka dengan semua ciri-ciri di atas jika mahu mendapatkan pekerjaan pada ketika ini. Mereka perlulah berusaha meningkatkan kemahiran dalam aspek komunikasi iaitu dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab atau bahasa Mandarin. Dengan memiliki kemahiran komunikasi ini, pastinya seseorang graduan itu akan mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi ketika menghadiri temu duga seterusnya mampu memikat majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Para mahasiswa pengajian Islam juga perlulah memiliki kemahiran ataupun soft skill yang pelbagai contohnya kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam era ledakan teknologi maklumat sekarang, setiap syarikat amat memerlukan individu yang berkemahiran dalam mengendalikan komputer serta perisiannya termasuklah pengendalian laman web dan sebagainya. Jika mahasiswa pengajian Islam dapat menguasai bidang ini, sudah pasti mereka mempunyai kelebihan berbanding mereka yang datang dari disiplin pengajian yang lain.

Para mahasiswa pengajian Islam juga perlulah melibatkan diri mereka dalam persatuan-persatuan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sama ada di peringkat kolej, fakulti, mahupun nasional. Dengan penyertaan ini, mahasiswa akan berpeluang melalui proses sosialisasi dan pendedahan berinteraksi dengan lebih baik dalam suasana yang sebenar. Hal ini pastinya dapat melahirkan graduan yang mampu berdikari dan ‘kebal’ dalam menghadapi suasana persaingan yang sengit pada hari ini.

Selain itu, PMAPIUM juga berpendapat sudah sampai masanya sistem pengajian di peringkat universiti malah mungkin di peringkat sekolah dikaji semula supaya prosesnya tidak hanya terlalu berorientasikan kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya menitikberatkan soal kemahiran dan pembentukan nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan pelajar. Sudah sampai masanya para mahasiswa di universiti diberikan lebih peluang kepada mereka untuk terlibat dalam kancah masyarakat tanpa sebarang gangguan sama ada melalui ugutan pihak pentadbiran universiti ataupun akta yang sebelum ini dilihat sebagai batu menghalang daripada lahirnya pelajar yang mempunyai nilai personaliti yang mantap dan mempunyai ‘ critical thinking’ dan ‘maturity of thought’ yang amat diperlukan pada hari ini.

Kesimpulannya, pengangguran dan fenomena ijazah susut nilai dapat dielakkan sekiranya para graduan sendiri dapat meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka. Para siswazah tidak boleh lagi berada dalam kepompong yang lama, sebaliknya perlu terus berusaha dalam memajukan dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran dan kriteria yang diperlukan untuk terus bersaing dalam menempatkan diri mereka dalam sektor pekerjaan.

Zulkefly bin Said

Exco akademik dan intelektual

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


Thursday, March 5, 2009

AGMPmapium Kali Ke27 Sesi 0809




Sunday, February 1, 2009

Terbongkar syarikat Mesir membekal makanan kepada Israel semasa perang Gaza.


Ahad, 01/02/2009 - Sebuah akhbar Mesir telah membongkar yang sebuah syarikat Mesir telah membekalkan askar-askar rejim Zionis dengan makanan melalui lintasan Owja semasa perang di Gaza manakala lintasan Rafah telah ditutup untuk bekalan bantuan kepada untuk warga Palestin

Akhbar Al-Osbo menyebut setiap minggu konvoi tetap lori membawa bekalan makanan daripada bandar raya Sadat pada lintasan Owja untuk menyampaikan bekalan makanan kepada tentera Israel semasa pencerobohan
mereka di Gaza.

Akhbar itu turut menyatakan kedahsyatan pemikiran syarikat Mesir tersebut tergamak membekalkan askar-askar rejim Zionis dengan bekalan makanan berlabel “Latha” yang bermaksud “Sedap” pada masa sama , rakyat Mesir berang terhadap pencerobohan Israel terhadap rakyat Gaza .

Palestin Kini

Wednesday, January 21, 2009

Pengundi Calon Bebas sokong Pro-M -Malaysiakini

Pungutan suara di kalangan pengundi dua calon bebas yang memenangi kerusi Fakulti Undang-undang dalam pilihanraya kampus Universiti Malaysia kelmarin, menunjukkan majoritinya menyokong kumpulan pro-Mahasiswa.

Dua calon tersebut - Noor Azween Mohd Iqbal dan Lim Bee San - memenangi kerusi Fakulti Undang-Undang.

Pungutan suara itu diadakan ekoran kumpulan yang bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini tidak mendapat majoriti besar.

Kumpulan pro-Aspirasi yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa mendapat 20 kerusi daripada 41 kerusi, manakala kumpulan pro-Mahasiswa mendapat 19 kerusi.

Berikutan itu, Lim dan Noor Azween memutuskan untuk mengatakan pungutan suara bagi menentukan kumpulan mana yang akan disokong untuk menubuhkan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Selepas selesai pungutan suara dibuat petang ini, 272 pelajar mengundi menyokong pro-Mahasiswa dan hanya 36 pelajar menyokong pro-Aspirasi.

Pungutan suara tersebut dibuat meliputi pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat di dewan kuliah Fakulti Undang-undang.

Ia bermula dengan pungutan suara di kalangan pelajar tahun satu dan dua pagi tadi. Ia diikuti dengan pungutan suara pelajar tahun tiga empat tengahari tadi dan berakhir petang ini.

Exco Keusahawanan dan Ekonomi
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM)

Tuesday, January 20, 2009

Pro-Aspirasi tewas di UM-Malaysiakini

Dikemaskini Kumpulan pro-Aspirasi gagal mempertahankan penguasaannya di Universiti
Malaya apabila tewas kepada kumpulan pro-Mahasiswa dan calon bebas dalam pilihanraya kampus semalam.

Kumpulan pro-establishment itu hanya mendapat 20 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala kumpulan pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi dan dua kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas.

Kekalahan tipis kumpulan pro-Aspirasi itu diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi di Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM.

Dalam pilihanraya kampus lalu, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi.

Dan dalam pilihanraya kampus semalam, kumpulan yang dianggap anti-establishment itu berjaya menambah lapan lagi kerusi.

Kerusi umum

Kumpulan tersebut menang lapan daripada sembilan kerusi umum dan 13 daripada 32 kerusi fakulti. Calon bebas memenangi dua kerusi fakulti.

Lapan calon pro-Mahasiswa yang menang kerusi umum ialah:

1)Mohamad Hafiz Ilyas.


2)Ahmad Syazwan Mohd Hassan.

3)Mohamad Ridzuan Mohammad.


4)Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican.

5)Chong Yah Huei.

6)Shah Rizul Ayuni Zulkiply.


7)Low Yu Jie.

8)Yap Zhehn Jun.


Manakala satu lagi kerusi umum dimenangi oleh calon pro-Aspirasi.

Peratusan merosot

Menurut keputusan yang diumumkan semalam, Mohamad Hafiz mendapat 5,999 undi, Ahmad Syazwan (5,886), Mohamad RIdzuan (5,474), Nurul Fitrah (5,425), Chong (5,041), Shah Rizul Ayuni (5,000), Low (4,847 dan Yap mendapat 4,683 undi.

Bagi kerusi fakulti pula, calon pro-Mahasiswa menang dua kerusi Fakulti Pengajian Melayu (2), Akademi Pengajian Islam (2) dan masing-masing satu kerusi di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kebudayaan.

Calon bebas pula memangi dua kerusi di Fakulti Undang-undang.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi merosot kepada 69 peratus pada sesi pemilihan kali ini.

Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kemenangan kumpulannya itu.

Menurutnya, kemenangan tersebut tidak diijangkakan. Kali terakhir pro-Mahasiswa UM memenangi pilihanraya kampus ialah pada 2004.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Norazali menyifatkan kemenangan itu sebagai "angin perubahan" yang sedang melanda universiti itu.

"Kemenangan pro-Mahasiswa kali ini begitu simbolik. Barrack Obama masuk Rumah Putih pada 20 Januari, kita menang pada (pun) pada 20 Januari," kata Norazali.

Pro-Mahasiswa sesi ini mengitar semula tema dan slogan kempen Barrack Obama dalam kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun lepas, Hope and Change dan Change, yes we can.

Norazali bagaimanapun mengakui, situasi pilihanraya kampus di UM lebih bebas berbanding universiti lain. Oleh itu, katanya, ianya membolehkan kempen dilakukan dengan lebih berkesan.

Prose pengiraan undi

Proses pengiraan undi di Universiti Malaya (UM) semalam panas apa kedua-dua kumpulan - pro-Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa - masing-masing saling melaungkan-laungkan kata-kata semangat, malam tadi.

Kira-kira 250 pelajar pro-Mahasiswa berpakaian oren berkumpul berhadapan dengan bangunan Canselori yang terletak di sebelah kiri Dewan Tunku Canselor (DTC) - tempat pengiraan undi dijalankan.

Sebelum itu, pelajar pro M berkumpul untuk mengadakan solat hajat dan Isyak berjemaah. Mereka juga tutut membawa bendera Pro-M dan melilit kepala dengan lilitan berwarna kuning tertulis ‘Pro-Mahasiswa'.

Manakala kira-kira 150 pelajar Penggerak Mahasiswa berpakaian serba hitam berkumpul di sebelah kanan dewan tersebut.

Kedua-dua kumpulan membawa kain rentang masing-masing sambil diperhatikan kira-kira 30 wartawan dan jurugambar yang berada di situ.

Kedua-dua penyokong kumpulan tersebut dipisahkan dengan jarak kira-kira 15 meter dan dikawal oleh Sukarelawan Polis UM (Suksis) kira-kira 50 orang sebelum kedua-dua menghampiri pintu masuk utama DTC kira-kira jam 10.30 malam.

Suasana panas

Kedua-dua kumpulan saling berteriakan. Pro-Mahasiswa berteriak ‘Hope and Change, Yes We Can', ‘Hancur, hancur, hancur rasuah' dan ‘Student Power' beberapa kali.

Dalam masa yang sama Penggerak Mahasiswa membalas dengan laungan ‘Fitnah, fitnah, fitnah rasuah', ‘Hidup, hidup, hidup perpaduan' dan ‘sayang, sayang, sayang perpaduan' beberapa kali.

Keadaan menjadi lebih panas, apabila seorang aktivis Penggerak Mahasiswa melaungkan kata-kata berunsur provokasi terhadap pro-Mahasiswa.

Kata-kata tersebut disambut oleh penyokongnya dengan sorakan dan tiupan wisel.

Kemudian pro-Mahasiswa melaungkan ‘Gerak, Gerak, Gerak Rasuah' sambil menunjukan duit kertas RM 10 ringgit kepada Penggerak.

Pilihanraya kampus yang berlangsung semalam mempertandingkan 41 kerusi - 9 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti.

Sesi lalu, pro-Mahasiswa menguasai 11 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

LAPORAN OLEH : WARTAWAN PRO-M UM

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO