Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Monday, July 14, 2008

MENJADI MAHASISWA YANG CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG


Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon yang telah dipilih untuk memasuki IPTA negara. Mendapat tempat di menara gading adalah satu keistimewaan kepada sorang pelajar. Ini kerana rakyat Malaysia memandang status seorang mahasiswa adalah yang dihormati di mata masyarakat. Mahasiswa dikatakan dapat masuk ke universiti kerana beroleh kecemerlangan akademik dan kewibawaan dalam kokurikulum. Ini dapat dibuktikan yang mana Prof Datuk Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi berkata pemilihan calon yang meraih tempat di universiti adalah dibuat dengan cara menggabungkan markah kokurikulum sebanyak 10 peratus yang diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran serta markah akademik 90 peratus daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran.

Tidak hairanlah jika ada mahasiswa yang mula mendabik dada kepada masyarakat dengan alasan mereka beroleh tempat di IPT dengan ketekunan dan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan juga ko-kurikulum. Seramai 40,184 calon dipilih memasuki 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/ Matrikulasi/ Setaraf (Ijazah Pertama) pada sesi akademik 2008/2009, bulan depan. Daripada jumlah itu, 24,989 calon Bumiputera, 12,445 Cina dan 2,750 India. Sebanyak 24,862 calon akan mengikuti jurusan sains manakala baki 15,322 jurusan sastera.

Seharusnya calon yang telah dipilih untuk memasuki ke IPT tidak memandang remeh beberapa perkara dan isu penting dalam kampus. Persiapan dan persedian yang rapi menjadi kemestian dan kewajipan kepada setiap calon, ini kerana sewaktu hari pendaftaran di IPT ada segelintir calon yang tidak cakna dengan arahan seperti persedian dokumen yang tidak lengkap, pendaftaran lewat, persedian pakaian yang tidak mencukupi dan sebagainya. Jika perkara-perkara seperti ini berlaku, maka ia akan menyusahkan banyak pihak samaada pentadbiran, waris dan semestinya diri calon sendiri.

Kehidupan di kampus adalah jauh berbeza dengan kehidupan di sekolah dan juga kehidupan di matrikulasi. Apabila melangkah masuk ke menara gading, status dan cara penampilan sewajarnya kelihatan lebih matang, berdisiplin dan bertanggungjawab dijadikan teras kehidupan. IPT melatakkan mahasiswa bukan sebagai seorang murid sekolah rendah, tetapi sebagai orang yang dihormati dan berintegriti dalam masyarakat.

Kehidupan mahasiswa yang berantaikan hedonisme seperti tabiat tidur lewat, bangun lewat, ke kuliah lewat, ponteng kuliah, meniru tugasan, merokok, kurang membaca, berfoya-foya, malas merujuk kepada pensyarah haruslah dibuang jauh-jauh agar perjalanan sebagai seorang pelajar IPT yang berkualiti. Kehidupan yang seharusnya ditonjolkan adalah semangat belajar berkumpulan, berdisiplin dan bertanggungjawab, membudayakan membaca, tidak memabzir, peka terhadap isu kampus, negara dan global, aktif berpersatuan dan sebagainya yang menggambarkan diri mahasiwa yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta berkualiti dan berintelektual.

Sekali lagi tahniah kepada calon yang akan melanjutkan diri di menara gading. Peringatan yang dinukilkan ini adalah sebagai panduan mudah kepada mahasiswa agar mahasiwswa mempersiapkan diri dengan persediaan yang secukupnya. Seharusnya calon-calon meletakkan diri mereka sebagai batang tubuh yang diberikan harapan oleh masyarakat untuk membarisi barisan kepimpinan negara di masa mendatang.

ZULZAIDI BIN MAHMOD
Exco Akademik dan Intelektual,
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Sunday, July 13, 2008

Mencari Sinar dan Jati Diri Islam Di Kampus

Dunia kampus hari ini, adalah suatu bentuk alam pendidikan yang begitu ‘meriah’ dengan pelbagai macam karenah mahasiswanya mengatur langkah menuju masa depan masing-masing. Ada yang benar-benar menumpu kepada studi yang hanya berdasarkan silibus yang diberi. Ada juga yang sering mengabaikan tanggungjawab studi yang diberikan itu dan menggantikannya dengan hal-hal yang tidak berfaedah. Dan, ada juga yang menyeimbangkan di antara studi dengan kerja-kerja pencarian ilmu yang lain di samping ilmu yang sememangnya daripada silibus pengajian.

Di dalam perjalanan hidup yang penuh ujian dan cacamerba ini, hendaklah kiranya para mahasiswa memanfaatkan masa remaja mereka untuk menimba ilmu sebanyak mungkin yang termampu. Tidak hanya terhad kepada ilmu ekonomi, perbankkan, bahasa, sastera, sains dan teknologi, bahkan ilmu yang paling asas yang menjadi prinsip kepada kehidupan kita iaitu ilmu yang membina agama dan manhaj kehidupan insan yang sejahtera. Yang mana seterusnya dengan ilmu itulah kita dipandu untuk beramal dengan ilmu-ilmu yang lainnya.

Masyarakat mahasiswa hari ini perlu dicelikkan semula kepada kepentingan ilmu-ilmu dan amalan-amalan berlandaskan al-Qur’an dan Sunnah yang sejahtera. Ini kerana bukan sahaja akhlak dan amalan sahih Islami yang semakin menghilang, malahan prinsip aqidah Islamiyah juga semakin pudar dari dalam jiwa mahasiswa.

"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar (39): 9)

Ini terbukti dari beberapa tinjauan saya terhadap rakan-rakan terdekat terhadap asas aqidah Islami yang sejahtera.

Saya pernah bertanya, “Eh, benarkah Allah itu wujud, apa buktinya?” Saya juga pernah mengutarakan persoalan Allah di mana. “Jika benar Allah itu wujud, di manakah Allah?” Daripada dua soalan ini sahaja masih ramai yang gagal menjawabnya dan ada yang hanya menghentam sahaja untuk mengemukakan jawapan berdasarkan akal semata.

Lalu terhasillah bermacam jawaban yang mengatakan bahawa ‘Allah itu berada di mana-mana...’ Ada pula yang mengatakan ‘Allah itu tidak bertempat’ dan sebagainya. Tidak kurang ramai juga yang menjawab dengan kalimah ‘tidak tahu’ dan ‘saya tidak pasti’. Dan hanya beberapa individu sahaja yang mampu menjawab Allah itu di langit. Allah itu di ‘arsy dan Allah itu memiliki kursi dengan menyertakan beberapa dalil al-Qur’an dan hadis. Selanjutnya, bukankah fenomena ini amat menyedihkan sekali bagi kita yang memahami? Betapa rapuhnya jati diri dan pemahaman asas kita dalam mengenali Rabbul ‘alamiin..

Daripada dua soalan itu sahaja, sudah membuktikan keadaan mereka kepada kita yang betapa nipisnya asas Islami mereka dalam mengenali Allah. Tidak hairanlah jika begitu ramai umat Islam diberitakan murtad jika asas utama dalam bab aqidah ini sahaja mereka sudah tidak mampu merungkaikannya. Belum lagi ditanya hakikat pemahaman rukun iman dan sebagainya.

Tidak hairanlah jika dengan mudah sahaja mereka mengabaikan amalan-amalan islami yang samaada fardhu ataupun yang sunat. Lalu mudah-mudah sahaja menggantikannya dengan amalan-amalan yang di luar konteks Islami. Mereka tidak lagi mengenali apa itu peranan al-Qur’an dan as-sunnah (hadis) dengan sempurna. Bahkan lebih malang, ada sebahagian kecil di antara kita yang hanya mengenali al-Qur’an hanya sebagai bahan bacaan yang untuk dilagukan lalu mengabaikan apakah maksud dan tujuan sebenar penurunan al-Qur’an yang sebenarnya. Mereka melupakan bahawa al-Qur’an itu sebagai petunjuk atau manual kehidupan insan. Bila ditanya pula apakah itu hadis, mereka tidak mampu menjawabnya. Jadi, dengan asas apakah mereka mendirikan jati diri dan amalan Islami sebenarnya? Islam bukanlah adat dan warisan. Islam itu adalah agama dan petunjuk bagi setiap insan yang wujud. Ia perlu difahami dengan sebaik-baiknya bagi menjamin ketulenan amalan dan i’tiqad kita.

“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.” (Ali ‘Imran (3): 138)

Memang logiklah jika mereka mudah terikut-ikut dengan budaya dan fahaman-fahaman yang menyeleweng di sekitar mereka. Mengagungkan perkara-perkara yang jelas sia-sia melebihi menuju kepada mengingati Allah seterusnya mentahidkan Allah berdasarkan asas yang sebenar. Inilah sebenarnya natijah dan akibat daripada pemahaman Islam yang amat cetek dan diambil secara sambil lewa, lalu mengabaikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai landasan penilaian hidup insani yang tulen.

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar". (al-Luqman (31): 13)

Selain itu, banyak lagi fenomena yang membuatkan kita sedih melihat masyarakat remaja kampus mahupun di luar kampus dalam mengamalkan Islam.

Ini jelas terbukti apabila ada di kalangan rakan-rakan sekeliling meninggalkan solat subuh hanya kerana malas hendak bangun awal. Lalu mudah-mudah sahaja meng-qadhakannya di luar waktu. Atau pun tidak kurang ramainya yang langsung terus meninggalkannya. Selain itu, ada pula yang dengan begitu mudah menjadikan alasan menaiki bas atau dalam perjalanan jauh balik kampung atau sebagainya, memberi alasan bahawa tiada masa untuk menunaikan solat dan tiada tempat untuk menunaikan solat kerana berada di dalam bas. Inilah dia jika asas Islami insan didrikan atas dasar kejahilan dan methode yang silap.

Ada juga di antara mereka yang sanggup bermain permainan komputer game sehingga jauh malam atau sepanjang hari. Mereka lalai dalam permainan sehingga meninggalkan perkara-perkara fardhu Islami yang mesti mereka tunaikan iaitu solat. Di sini kita melihat mereka seolah-olah mengutamakan perkara yang lain itu sendiri berbanding mentaati Allah. Bukankah ini adalah sebahagian daripada pencemaran aqidah yang jelas lagi gamblang (terang).

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (al-Baqarah (2): 165)

Pemahaman mahasiswa seperti inilah yang amat perlu untuk ditangkis dan diperbetulkan oleh semua pihak yang memahami. Mereka bukan sahaja bermasalah dalam persoalan ibadah dan fiqh, malahan mereka amat bermasalah dalam perkara asas aqidah dan prinsip Islami yang sebenar.

Ini hanyalah menyentuh beberapa persoalan kecil dan asas dalam beragama (Islam), tidak lagi menyentuh persoalan yang lain seperti pergaulan bebas, pendedahan ‘aurat, dan sebagainya. Jika asas binaannya sahaja sudah tidak keruan, mana mungkin bangunannya boleh berdiri teguh dengan melaksanakan amal Islami yang sejahtera dari segala macam pencemaran!

Oleh itu, marilah kita sama-sama sebagai mahasiswa memupuk jiwa Islami dengan mendalami Ilmu agama yang sejahtera yang dianjurkan di mana sahaja ia diadakan selaras dengan kemampuan kita. Bersama-sama kita berusaha mengenali kandungan al-Qur’an, as-sunnah, dan ijma’ para sahabat Rasulullah (salafus-soleh) dengan lebih baik lagi supaya kehidupan kita sebagai individu atau masyarakat muslim menjadi lebih jelas dan baik selaras dengan pemahaman yang baik yang diterima. Bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmu dan banyak mengadakan perbincangan ilmiah bagi menilai mana yang terbaik dengan menjadikan al-Qur’an, sunnah dan ijma’ para sahabat (salafus-soleh) sebagai asas dan landasan manhaj dalam melakukan penilaian. Bukannya mantiq dan akal. Perkiraan baik dan buruk mestilah dinilai dengan dalil naqli dan bukan-nya akal.

Bagi pihak-pihak yang bertanggungjawab, seharusnya bertindak untuk memantau keadaan ini dan berusaha mengambil inisiatif menyediakan wadah atau tempat untuk para mahasiswa mendalami perihal Islam dengan lebih baik di sekitar kampus. Pendedahan dalam bentuk yang kreatif dan berfakta juga perlu diambil kira bagi menarik generasi kampus berminat untuk kembali kepada asas-asas Islam yang tulen. Ini adalah bagi mengelakkan mereka daripada terjebak kepada agenda yang lebih berbahaya oleh pelbagai pihak di luar sana. Mereka perlu diberi pemahaman yang tulen berkenaan hakikat Islam. Agar mereka mampu menilai setiap permasalahan baik dan buruk yang tertuju kepada mereka kelak. Ini adalah kerana mereka merupakan kesinambungan generasi yang lebih Hadhari di masa hadapan.

“Dan sememangnya tidaklah sama orang Yang buta dan orang Yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang Yang beriman serta beramal soleh dengan orang Yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.” (al-Mu’min (40): 58)

“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah Yang tersebut di dalamnya) Bahawa Sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang Yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.” (Ibrahim (14): 52)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzaab (33): 21)
.
Exco Kerohanian dan Islam Hadhari
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO