Friday, June 5, 2009

Awas Keselamatan PC anda!!

Dewasa kini, dunia semakin canggih dengan pelbagai kemodenan yang dapat dikecapi dan dinikmati oleh manusia kini. Dengan hanya sedikit ilmu yang diberi oleh Allah ibarat setitik air dari air laut, manusia dapat mencipta pelbagai alat kemodenan sehinggakan ada yang lupa diri terhadap Penciptanya.

Jika dahulu komputer hanya dapat dimiliki oleh golongan yang berstatus tinggi, tetapi kini golongan berpendapatan sederhana dan para pelajar boleh memiliki komputer sendiri. Ramai sedia maklum, bahawa ancaman virus dan pengodam merupakan perkara yang susah untuk kita elakkan. Pada pemerhatian saya, setiap masa terdapatnya virus komputer baru yang dicipta oleh golongan yang bijak akan tetapi menyalahgunakan kebijaksanaannya untuk menghancurkan yang lain.

Tanpa langkah keselamatan, data sulit seperti maklumat perbankan boleh dicuri atau dirakamkan. Oleh sebab itulah ramai yang tidak menyedari duit mereka semakin kurang didalam bank. Bagaimana ia dilakukan, itulah yang menjadi persoalan kepada saya. Sehubungan itu, tidak mustahil jika PC anda mudah dieksploitasi atau dicemari ancaman berbahaya. Anda mungkin pernah mendengar terhadap ancaman popular internet seperti virus, cecacing (worm) dan spyware.

Tanpa anda sedari juga terdapat perisian cetak rompak (bukan yang asli) yang dimuat turunkan kedalam komputer anda. Ini berlaku kerana ceteknya ilmu tentang dunia komputer sehingga dapat ditipu oleh pengusaha yang menjual komputer. Lazimnya versi cetak rompak ini sukar dikemas kini termasuklah untuk menaik taraf ciri keselamatannya untuk mengatasi masalah virus. Akan tetapi anda tidak perlu risau, masalah ini dapat diatasi sekiranya anda sentiasa berhati-hati.

Disini terdapat sedikit tips pencegahan daripada virus dan ‘penceroboh’. Hapuskan jejak internet anda seperti fail cache, cookies dan fail sementara melalui fungsi yang terdpat pada Internet Explorer dan Firefox. Sentiasa ‘update’ antivirus anda supaya dapat mengesan virus atau cecacing. Akan tetapi, terdapat juga antivirus yang tidak dapat mengesan virus yang baru. Oleh itu, anda perlu bijak memilih antivirus mana yang sesuai sebagai ‘pengawal keselamatan’ PC anda. Anda juga perlu diingatkan untuk selalu menukar kata laluan anda. Pastikan ia unik, sukar diteka dan jangan menggunakan kata laluan yang serupa pada setiap aplikasi anda.

Gunakan fungsi ‘sign off’ pada tapak web yang menawarkan akaun seperti e-mel dan perbankan. Klik pada butangnya setiap kali urusan selesai. Dinasihatkan juga berhati-hati terhadap laman web yang menjadi link didalam tapak web atau blog yang anda lihat. Jangan mudah untuk klik kepadanya.

penolong exco penerbitan
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam

Tuesday, June 2, 2009

RTM dan Media Prima perlu perbanyakkan rancangan agama



Rakyat Malaysia jelas dengan kepentingan media kepada mereka untuk mendapatkan informasi dan hiburan dengan menonton telivisyen. Hari ini boleh dikatakan setiap rumah mempunyai telivisyen setiap satu. Namun persoalannya apakah pihak media dan masyarakat sedar akan sebenar-benar kepentingan media kepada umum?

Tidak dapat dinafikan bahawa media massa seperti telivisyen adalah medium yang dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat. Mengikut teori, sesiapa yang mengusai media maka ialah adalah dapat mengusai sesebuah kawasan tersebut. Sekiranya siaran yang disiarkan adalah negatif maka kesan kepada masyarakat akan turut menjadi negatif. Sebagai contoh rancangan yang disiarkan kini banyak berbentuk hiburan seperti program realiti telivisyen seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Malaysian Idol, Mentor dan banyak lagi lambakan program yang berbentuk hiburan disiarkan di telivisyen. Kesannya masyarakat kini ramai yang mahu menjadi penyanyi sehinggakan ada ibu bapa mengajar anak-anak mereka menyanyi sejak kecil. Hal ini akan menyebabkan pendidikan masyarakat dalam keluarga tidak seimbang.

Dari segi psikologi anak-anak kecil mudah mengikuti perlakuan apa yang mereka lihat terutama perlakuan negatif yang dilihat dan begitu juga remaja. Dari segi logik adalah baik sekiranya memaparkan realiti perbuatan negatif untuk kesedaran umum, namun ia akan berlaku sebaliknya kepada kanak-kanak yang meilhat seperti aksi rempit, lumba haram, pergaulan bebas, dan pakaian yang tidak sopan. Perbuatan ini mereka akan cuba meniru dan melakukan apa yang mereka lihat kerana kehidupan sekeliling menjurus kepada perbuatan tersebut ditambah lagi dengan jiwa yang ingin mencuba sesuatu adalah tinggi.

Secara sedar mahupun tidak daripada pemerhatian yang dibuat rancangan agama masih di peringkat rendah dan keberkesanan terhadap perlakuan masyarakat juga teramat kurang.. Hal ini secara kasar dapat kita katakan bahawa sekiranya rancanngan yang disiarkan berbentuk hiburan lebih banyak daripada rancangan agama. Oleh itu, Saya mencadangkan kerajaan memperbanyakkan rancangan-rancangan agama Islam yang padat dengan nilai-nilai Islam. Selain itu rancangan yang disiarkan dicadangkan banyak memaparkan aksi yang positif dan boleh dijadikan contoh kepada penonton. Nilai-nilai ini perlu diperbayakkan kerana Islam itu adalah agama yang dapat menyelamatkan semua manusia daripada perkara mungkar dan juga kerana Islam adalah sebaik-baik agama yang dapat memandu masyarakat kearah masyarakat yang makmur dan bertamadun.

Sebagai tanggungjawab terhadap ugama, bangsa, dan negara pihak media perlu seimbangkan antara hiburan dan agama dan perlu mengkaji rancangan yang terbaik kearah pembangunan masyarakat dan bukannya sekadar untuk hiburan semata-mata. Pihak media juga perlu melihat kepentingan masyarakat berbanding kepentingan keuntungan kerana rancangan agama seolah-olah dianaktirikan dengan menyiarkan rancangan agama diwaktu yang tidak strategik oleh kerana tidak mendapat sambutan dalam masyarakat dan sebaliknya rancangan agama ini adalah perlu disiarkan pada waktu yang ditonton semua penonton. Usaha media massa perlu menambah rancangan agama dan tingkatkan minat masyarakat dalam menonton rancangan agama sepertimana minat masyarakat kepada rancangan realiti tv sekarang ini. Melihat realiti masyarakat Islam kini kebanya sudah jauh dari penghayatan agama maka dengan rancangan telivisyen dapat mendidik masyarakat ke arah pembangunan insan yang terbaik.


PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO