Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Friday, August 1, 2008

100 Mahasiswa GAMIS Berhimpun Kutuk Kehadiran Tony Blair

Hampir kira-kira 100 orang mahasiswa dari GAMIS berhimpun secara aman di hadapan Hotel Mandarin, Kuala Lumpur 3 petang tadi kerana membantah tindakan UM menjemput bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk memberikan ceramah berkenaan undang-undang. Turut sama hadir dan memberikan ucapan adalah rakan-rakan mahasiswa dari PKPIM dan NGO Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

GAMIS telah diwakili oleh salah seorang ahli Majlis Tertingginya, saudara Hafizudin Abirirah yang mempertikai rasional pihak penganjur menjemput Tony Blair untuk bercakap tentang undang-undang sedangkan beliau sendiri melanggar undang-undang keamanan dunia apabila membantu AS melakukan jenayah berat paling berat di Iraq.
Ahmad Zulfadhli

Tuesday, July 29, 2008

Israk Dan Mikraj


"Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya, agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui."

Sempena bulan Rejab yang mulia ini, saya ingin merakamkan kisah yang sangat bermakna lagi simbolik dalam sejarah kemanusiaan iaitu Israk dan Mikraj. Kisah ini merupakan rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad saw. secara real sebagai satu anugerah dan penghormatan Allah kepada baginda untuk memberikan satu pengiktirafan yang teragung kepada Penghulu segala nabi dan rasul. Ia juga merupakan satu mukjizat yang tidak diberi kepada mana-mana rasul sebelum ini. Selain itu, ia juga adalah merupakan satu perutusan diraja untuk penyampaian anugerah yang paling agung iaitu solat. Kesemua ibadat seperti zakat, puasa atau haji disampaikan melalui malaikat Jibril, tetapi solat oleh sebab ketinggian darjatnya, ia disampaikan secara langsung melalui satu peristiwa gemilang lagi kudus di antara Rabbul Jalil dengan Nabi Muhammad saw. Inilah detik teragung dan pengalaman yang paling manis buat Nabi Muhammad setelah mengalami tekanan perasaan apabila dua orang penyokong kuatnya iaitu Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib meninggal dunia.

Perlu dinyatakan di sini bahwa oleh kerana kejadian ini berlaku secara 'luarbiasa', kita jangan sekali-kali mempertikaikan kesahehannya. Ia mesti dipandang sebagai satu kebenaran sebab ia adalah mukjizat Allah dan juga termaktub di dalam Al-Quran, sebagaimana yang tercatat di atas. Sebenarnya Israk Mikraj menguji keimanan kita. Mereka yang percaya adalah manusia pilihan Allah manakala yang meragui kebenaran ini termasuk dalam kumpulan Abu Jahal yang mendustakannya. Manusia pertama yang percaya bulat-bulat 100% ialah Saidinia Abu Bakar. Lantas dia digelar As-Siddiq. Perjalanan misteri ini adalah melibatkan jasad dan ruh Nabi Muhammad bukannya ruh saja (seperti dalam mimpi) sepertimana yang didakwa oleh orientalis. Dalam kesempatan ini saya perturunkan kisah tersebut secara agak detail supaya dapat dikongsi bersama dan dijadikan bahan renungan untuk dijadikan iktibar. Yang baik kita jadikan teladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Kejadian Isra' (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam. Di sana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah untuk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah. (Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).

Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibril ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai ciri teristimewa kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad, ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu untuk makan dan minum, bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, betapa hal dengan diri kita yang mengaku sebagai umat Muhammad)

Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibril di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.

Beberapa minit perjalanan, sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibril menyuruh Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi akan melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Nabi berhenti untuk melakukan solat dua rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia)

Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:

>Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang
--------------------------------------------------------------------------------
Malaikat Jibril ajarkan doa menagkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur

>Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti.
--------------------------------------------------------------------------------
Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang

>Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka.
--------------------------------------------------------------------------------
Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat

>Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.

>Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.

>Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.
--------------------------------------------------------------------------------
Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.

>Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi.
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.

>Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh.
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.

>Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu.
--------------------------------------------------------------------------------
Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi

>Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti
--------------------------------------------------------------------------------
Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam

>Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.

>Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti
--------------------------------------------------------------------------------
Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah

>Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat

>Nabi tercium bau yang amat harum
--------------------------------------------------------------------------------
Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.

>Kayu merentangi jalan sehingga menyukakan orang lalu-lalang
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak

>Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya.
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran orang yang makan riba'

>Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.
--------------------------------------------------------------------------------
Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad saw solat tahyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan escalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha. Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad saw diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Langit pertama Nabi berjumpa Nabi Adam, bapa segala manusia.
Langit kedua Berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya.
Langit ketiga Berjumpa dengan Nabi Yusof
Langit keempat Berjumpa dengan Nabi Idris
Langit kelima Berjumpa dengan Nabi Harun
Langit keenam Berjumpa dengan Nabi Musa
Langit ketujuh Berjumpa dengan Nabi Ibrahim

Monday, July 28, 2008

Empat IPTA tumpu graduan MA & PHD

Isu pendidikan tinggi menjadi perhatian baru-baru ini dengan pengumuman 4 buah IPTA menumpukan graduan MA & PHD pada sesi pengajian baru 2008/2009. Universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengumuman dibuat kerana empat buah universiti ini ingin menumpukan lebih banyak penyelidikan menjelang tahun 2020 dan juga penerbitan ilmiah seperti jurnal, artikel, tesis dan sebagainya.

Selain itu, purata kemasukan pelajar-pelajar baru dalam ijazah sarjana muda sama jumlahnya dengan para pelajar MA & PHD iaitu situasi 50/50. Dalam waktu yang sama UiTM telah diarah oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengambil 200000 pelajar baru sesi 2008/2009 bagi memastikan para pelajar ijazah sarjana muda mendapat tempat untuk meneruskan pengajian mereka.

Posted by Mohd Fadzil Bin Jamal
Exco Ekonomi Dan Keusahawanan
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Menyemai Semangat Iqra' di kalangan Mahasiswa.

Acapkali kita mendengar bahawa mahasisiwa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan Negara pada masa yang akan datang. Golongan ini diberi perhatian khusus oleh pelbagai pihak membuktikan betapa pentingnya kewujudan mereka di dalam mencorakkan perjalanan sesebuah pembanguanan Negara. Mereka jugalah yang akan menjadi pelapis dan pengganti yang berjiwa kental yang akan menjadi aste terpenting bagi meneruskan kesinambungan perjuangan bangsa dan agama. Dengan erti kata yang lain, jatuh bangunnya sesuatu ummah pada abad-abad yang mendatang banyak bergantung kepada komuniti ini.

Justeru, mahasiswa perlu mempersiapkan diri mereka dengan segala keperluan asas yang merangkumi tiga fakulti keinsanan iaitu rohani, jasmani dan akal. Mahasiswa perlu memahami akan falsafah disebalik pengajaran dan pembelajaran mereka. Pendidikan atau "tarbiyah" menjadi alat ataupun mekanisme yang utama di dalam membentuk individu yang berilmu , beretika tinggi dan berdaya saing. Di samping itu mereka perlu meletakkan diri sebagai global player dalam mendepani dunia tanpa sempadan ini.

Sejarah silam, membuktikan bahawa pendidikan menjadi teras di dalam pembangunan individu yang kental, pembinaan masyarakat yang utuh hubungannya dan seterusnya membentuk kehidupan Negara yang harmoni. Jelas kepada kita masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang berilmu dan mengamalkan norma-norma murni anjuran agama dengan bersungguh-sungguh. Umat Islam terdahulu bangkit menguasai ilmu adalah berpunca daripada cetusan dan dorongan daripada Al-Qur'an. Menerusi Surah Al-'Alaq ( surah pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw) , ummat Islam bagaikan "terjaga" dari lena yang panjang dan bertitik tolak dari detik inilah, lahirnya keajaiban-keajaiban yang tercipta hasil daripada sentuhan insan yang berilmu dan beriman. Unsur cetusan dan dorongan ini dinamakan sebagai semangat Iqra'.

" Bacalah!" : bagaikan suatu anjakan yang menghiasi kehidupan ummat Islam terdahulu. " Bacalah!" : umpama suatu tolakan yang menggerakkan motivasi dalaman para ilmuan Islam untuk menuntut dan mencari ilmu ke seluruh pelosok dunia. Sejajar dengan itu lahirlah tokoh-tokoh ilmuan yang amat tinggi keilmuaan seperti Saidina Ali r.a umpamanya. Teringat kata-kata beliau : " Tanyalah aku sebelum kalian kehilangan ku." Memang Saidina Ali adalah orang yang paling berilmu selepas Raslullah SAW. Rasulullah sendiri pernah bersabda : " Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Carilah ilmu dari pintu-pintu yang terbuka." Malah, sejarah kecemerlangan kehidupan sarjana-sarjana islam masa lampau seperti Ibnu Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi dan sebagainya, bermula dengan semangat membaca yang tinggi, keazaman untuk menguasai ilmu yang tidak pernah putus dan kecekalan mereka dalam mennempuh segala cabaran. Inilah faktor "X" menyebabkan mereka berjaya menjadi ilmuan dan tokoh yang pakar di dalam bidang ilmu masing-masing.

Sayugia, perlulah disematkan di pemikiran mahasiswa betapa pentingnya menghidupkan roh dan semangat iqra' ini dalam memperlengkapi diri mereka dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan berguna. Sikap membaca buku perlu dijadikan imej dan budaya hidup oleh setiap mahasiswa untuk memacu diri ke arah kecemerlangan. Mind setting perlu disettkan kembali bagi menghidupkan semula semangat iqra' ini. Pembudayaan 'iqra' ini perlu disemai dan ditanam sedalam-dallamnya sehingga ,enjadi darah daging di dalam diri seorang mahasiswa. Dunia hari ini amat memerlukan keperibadian mahasiswa yang ampuh dari segi keintelektualan, keterampilan diri dan keteguhan sahsiah. Semuanya ini bermula dengan penghayatan kepada ilmu dan jelas terhadap konsep ilmu yang sebenarnya.

Dalam sejarah , kita dapati terdapat ramai pencinta-pencinta buku yang begitu ghairah membaca, mengumpul dan menyimpan koleksi-koleksi buku mereka sebagai aset yang cukup bernilai dan berharga. Dalam sejarah peradaban barat misalnya Boulard, seorang pakar perundangan Perancis pada abad ke18, begitu bernafsu membeli buku sehingga rumahnya tidak cukup ruang untuk meyimpan buku-buku dan terpaksa mebeli 6 buah rumah lagi bagi tujuan itu. Dalam sejarah peradaban Islam pula, seorang penjual roti bernama Al-Jahiz yang amat mencintai ilmu dan amat gemar membaca buku sebagai tanda minatnya terhadap ilmu. Keseluruhan waktu disebelah malamnya, banyak diperuntukkan untuk berwacara dengan ulama dan membaca buku di perpustakaan peribadinya. Kegigihannya menyebabkan beliau terkenal di kalangan para ulamak sehingga mampu menjadi sasterawan tersohor.Beliau pernah menggambarkan "lautan" bukunya itu kepada seorang teman dengan menyatakan : " Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau mengehendakinya berbicara. Ia tidak akan menganggu kalau engkau sedang bekerja tetapi apabila engkau rasa kesepian, ia akan mejadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah dan berkecil hati kepadanya.Ia merupakan teman yang tidak menipu atau bermuka dua."( Ahmad Shallaby, 1976).

Bermula dari kesedaran inilah, mahasiswa perlu menyedari kepentingan peranan membaca buku dan karya-karya bermutu merupakan suatu kewajipan yang utama di dalam menuntut ilmu. Al-Qur'an menyeru manusia supaya membaca dan mencari ilmu supaya kita dapat "membunuh" kejahilan kita. Amat menjelekkan dan memalukan sekiranya seorang yang bergelar mahasiswa itu terlalu berkecenderung dan hanya mengemari manga-manga kartun umpama " Sin Chan", majalah pisican yang penuh dengan hiburan serta rungan "ringan-ringan" yang melemahkan akal dan jiwa. Sungguh mengecewakan sekiranya inilah kehidupan seorang yang menggelarkan dirinya mahasiswa!

Oleh hal yang demikian, bermula saat ini mahasiswa perlu menanamkan keazaman dan kesungguhan untuk memperkasakan ilmu pengetahuan mereka. Mungkin, ia bermula dengan sebuah buku dan akhirnya mereka dapat mewujudkan perpustakaan peribadi sendiri yang menyimpan segala koleksi buku sebagai rujukan di hari mendatang. Ingat pesan Imam Al-Ghazali : " Jadilah manusia yang tamak dan rakus terhadap ilmu. Dan buku adalah wahana penting dalam mendapat ilmu." Ingatkan juga pesan James Bacon (1561-1626), seorang ahli Falsafah Inggeris: " Membaca menjadikan seseorang itu berisi."- Selamat membaca!

Ahmad Zulfadhli Bin Bashiron

Sumber dari Brohamzah

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO