Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Tuesday, June 7, 2011

Peranan Kita Mahasiswa Islam ~ Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Pelbagai tugas yang harus dilaksanakan dalam kehidupan seharian jelas menggambarkan pegangan hidup yang Islami pada diri seseorang mahasiswa Islam. Seseorang mahasiswa Islam itu secara langsung adalah sebagai daie, maka perlu atasnya memahami tanggungjawabnya yang utama dalam kedudukannya sebagai Muslim. Oleh kerana inilah, setidak-tidaknya tiga tugas utama wajib dipikul oleh kita sebagai mahasiswa Islam iaitu, mendalami (thaqafah) ilmu-ilmu Islam, menuntut ilmu-ilmu yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat dan memikul tanggungjawab dakwah Islamiyah.

Pertamanya, wajib atas kita mahasiswa Islam untuk mendalami dan memahami thaqafah Islamiyah. Isi kandungan bagi thaqafah Islamiyah ialah ilmu-ilmu yang mempunyai kaitan dengan Akidah Islamiyah, ilmu tauhid, ilmu tafsir, ilmu hadith, bahasa Arab, ilmu akhlak dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini merupakan ilmu-ilmu utama dalam Islam. Seorang mahasiswa Islam itu wajib mempunyai pandangan hidup Islam, oleh itu dengan thaqafah Islamiyah inilah seseorang itu mampu berfikir dan berperilaku mengikut acuan Islam. Tujuan utama memahami ilmu ini ialah tidak lainnya untuk memandu kita berada di jalan yang benar.

Tanggungjawab kedua ialah, menuntut ilmu-ilmu yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan masyarakat terangkum sama ada berasaskan wahyu seperti ilmu usuluddin, ilmu syariah, dan akhlak serta ilmu-ilmu yang bersifat saintifik dan pengkajian seperti ilmu sains, perubatan, kaunseling, kejuruteraan dan ilmu-ilmu profesional yang lain. Ilmu ini perlu dituntut sedalam-dalamnya dan semaksima mungkin agar menghasilkan manfaat kepada kita dan masyarakat, serta membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Ianya lebih bersifat tanggungjawab individu yang dengannya membantu kita bermuamalah dengan masyarakat.

Kemudiaannya, yang ketiga ialah memikul tugas dakwah Islamiyah. Tugas ini berkaitan dengan status kita sebagai mahasiswa islam dan sebahagian dari keseluruhan masyarakat Islam. Kita wajib mempunyai sikap mengambil tahu keadaan dan realiti masyarakat dan berusaha untuk mengubah keadaan agar lebih baik. Kita hari ini harus meluaskan minda untuk turut memikirkan realiti masyarakat dan tidak hanya memikirkan tentang dirinya sendiri sahaja. Kita dituntut untuk melakukan taghyir (perubahan) apabila melihat kemungkaran atau maksiat.

Sabda rasulullah s.a.w" “Barangsiapa di antara kamu melihat ke-mungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (fizikal). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya (perkataan). Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya (tidak redha) dan itulah selemah-lemah iman.” [HR. Muslim].

Oleh yang demikian, kita seharusnya sedar akan tanggungjawab perubahan dan bersama-sama menyeru kepada Islam. Kita tidak seharusnya berdiam diri sahaja melihat masalah-masalah yang membelenggu hidup masyarakat seperti jenayah, keruntuhan akhlak remaja, rasuah dalam pemerintahan dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya, mahasiswa Islam yang mempunyai pandangan hidup Islam adalah generasi harapan umat.Tiada masanya lagi untuk kita bermanja-manja memikirkan tentang kepentingan diri sendiri sahaja. Di bahu kitalah terpikul tanggungjawab melakukan perubahan dan pengislahan masyarakat ke arah masyarakat yang diredhai Allah s.w.t. Tugas dan tanggungjawab ini sememangnya bukan suatu perkara mudah, namun ketahuilah kemuliaan menunggu di hadapan. Marilah kita ringankan tulang menyahut seruan untuk membantu kejayaan Islam.
Wallahua'lam.

-Admin


PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO