Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Friday, August 12, 2011

13 Ramadhan : Sebuah Keikhlasan




Asslammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh....

Setiap hamba Allah memiliki kemampuan dan kemahuan dalam beribadah . Sedangkan nilai ibadah seorang hamba di hadapan Allah ditunjukkan dengan ikhlasnya dalam beramal. Tanpa keikhlasan takkan bererti segala amalan seorang hamba. Tidak akan ada nilainya di sisi Allah jika tidak ikhlas dalam beramal.


Niat adalah pengikat amal. Keikhlasan seseorang benar-benar menjadi sangat penting dan akan membuat hidup ini menjadi lebih mudah, indah dan jauh lebih bermakna.

Balasan yang dinikmati oleh hamba Allah yang ikhlas adalah akan memperoleh pahala amal, walaupun amalan tersebut belum dilakukan. Disamping itu akan merasakan ketenteraman jiwa, ketenangan batin.

Dengan itu,kita hendaklah menghidupkan bulan Ramadhan yang mulia ini dengan amalan yang bermanfaat,menghayati puasa , berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan .Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Barangsiapa berpuasa di Bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas,maka diampuni dosanya yang telah lalu."


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:

"Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah".

(At-Tirmidzi)

Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas (dan berterusan)Â adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak ikhlas (dan tidak konsisten). Bagaimanapun, jangan salah faham, kerana tidak ikhlas tinggalkan yang fardhu (wajib) pula, kerana fahaman itu bertentangan dengan ajaran al-Quran & as-Sunnah.


Sifat taqwa merupakan benteng yang menjadikan seseorang itu merasa dekat dengan Tuhannya tanpa mengira situasi apapun ia berada sama ada di dalam kelompok orang ramai atau bersendirian. Setiap perlakuannya dipersembahkan kerana Allah. Untuk sampai ke tahap taqwa, memerlukan ilmu & mujahadah yang berterusan.



Seorang ahli hikmah berkata: Contoh orang yang beramal dengan riyaa’ atausum’ah itu adalah bagaikan orang yang keluar ke pasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan semua orang yang melihat poketnya berasa kagum dan berkata: “Alangkah banyaknya wang orang itu.”, tetapi sebenarnya dia sama sekali tidak berwang kerana tidak dapat membeli apa-apa dengan batu tersebut tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang semata. Demikian juga orang yang beramal dengan riyaa’ sum’ah, tidak ada pahalanya di akhirat kelak.



Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Tanda orang yang riyaa’ itu ada empat iaitu malas jika bersendirian, dan tangkas jika di hadapan orang, dan menambah amalnya jika dipuji, dan menguranginya jika dicela."



Tanda-tanda keikhlasan iman kepada Allah itu banyak. Di antaranya ialah seseorang itu akan menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukannya dan menangis kerana takutkan siksaan Allah. Dan seseorang itu akan berani dalam berjihad menegakkan agama Allah hingga sanggup menghadapi kecederaan malah menempuh syahid kerana Allah dan seseorang itu akan sabar dan tekun (khusyuk) dalam menjalankan ketaatan kepada Allah hingga terdapat kesan-kesan di dahi dan anggota badannya.


Semua ini merupakan ciri-ciri orang yang benar-benar beriman di mana ganjaran daripada perbuatan tersebut amat besar pahalanya di sisi Allah SWT dan diberi ganjaran di hari akhirat kelak.




Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan 11 : Saudara seIslam


Puasa di bulan Ramadhan mendidik diri ke arah menginsafi nasib saudara seIslam yang lain, lantas mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam. Kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam dapat digambarkan melalui firman Allah yan bermaksud: “Dan Yang mempersatukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah Subhanallahu wa Ta’ala telah mempersatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal: 63)

Dalam mendidik mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadhan ini di antaranya ialah:

(a)
Menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.


(b) Menimbulkan kekuatan untuk menghadapi pe
nderitaan dan kepayahan hidup seharian.

(c) Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan timbang rasa dalam kehidupan seharian.

(d)
Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.


Ibadah puasa di bulan Ramadhan mempunyai peranan yang besar untuk memupuk persaudaraan di antara sesama manusia, terutamanya di antara golongan kaya dan miskin. Ibn Qayyim al-Jauzi dengan tegas menyatakan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga.


Wahai orang yang berpuasa, sesungguhnya anda dapat menghiasi meja makan dengan beraneka jenis makanan, justeru apa salahnya anda memberikan sedikit makanan untuk orang yang kelaparan itu, bahkan anda mampu membahagiakan keluarga lain yang sedang kelaparan itu, anda juga mampu menghapus air mata kesengsaraan mereka. Oleh itu,sama-sama kita berusaha menuju keredhaan Allah dengan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam sempena Ramadhan yang penuh berkat ini.




PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO