Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Friday, September 5, 2008

RAMADHAN: BULAN RAHMAT, BERAMAL SOLEH DAN BERPUASA

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat। Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).

Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.
Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam। Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).


Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan। Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.

Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam। Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.

Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:

Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut। Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.

Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan। Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.

Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur। Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".

Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:

Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang। Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang। Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya.

Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.

Thursday, September 4, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelummu agar kamu bertaqwa”.

[ Surah al-Baqarah : 183 ]

Assalamualaikum w.b.t. dan salam muhibbah,

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya, kita dipanjangkan usia dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan al-Mubarak.

Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.Ia melatih setiap anggota tubuh melakukan amal ibadah dan menghindar maksiat.Bukan sahaja setakat bulan Ramadhan malah sepanjang tahun yang mendatang.

Sesungguhnya kedatangan Ramadhan menjanjikan pelbagai tawaran, ganjaran dan kelebihan bagi jiwa, jasad mahupun mental setiap Muslim. Antaranya ialah melalui amalan bersahur, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan ”.Menerusi hadis ini, bersahur dikaitkan dengan keberkatan yang bermaksud rahmat dan keredhaan Allah.

Tidak ketinggalan, amalan sunat seperti bertadarus, solat sunat tarawih dan berqiamullail dapat menambahkan pahala yang berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini. Tambahan pula, tawaran mendapatkan keberkatan malam Lailatulqadar sentiasa terbuka luas.

Menerusi hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “ Allah telah berfirman,Setiap amalan anak Adam itu baginya ( ganjaran pahala yang ada hadnya ), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar.Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan : ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya “.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Justeru, marilah kita tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa kita. Mudah-mudahan objektif ketaqwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar dapat dicapai dan dihayati. Rebutlah setiap masa dan peluang di bulan penuh keberkatan ini untuk melakukan amal ibadah kerana kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu semula dengan Ramadhan atau sebaliknya.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM “

IZZAT AMIN MOHD NASIR
YDP PMAPIUM 08/09

Wednesday, September 3, 2008

Agenda Bulan Ramadhan 1429 H


Alhamdulillah marilah kita mengatur rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati perasaan untuk berada di dalam Bulan Ramadhan pada tahun ini. Inilah peluang untuk membersihkan diri dan mendidik hati agar terus mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Sukarlah saya memfokuskan peringatan kepada perancangan pada Bulan Ramadhan bagi tujuan peningkatan diri dan mengembangkan potensi untuk menjadi hamba Rabbani. Ada beberapa perkara yang perlu kita lihat dan check dalam senarai semak perancangan Ramadhan kita. Kita lihat sama-sama :

1] Niat – Pasang niat dan berazam untuk menjadikan Ramadhan ini yang terbaik.
2] Banyakkan bertaubat dan istighfar. Memohon agar Allah SWT ampun segala dosa.
3] Al-Qur’an – Memperbanyakkan membaca Al-Quran. Tadabbur dan hayati makna.
4] Zikrullah sentiasa dilazimi dimana sahaja kita berada.
5] Jadikan Ramadhan sebagai Bulan Dakwah.
6] Solat Sunat Tarawih diperbanyakkan dan kalau boleh jangan ditinggalkan.
7] Banyakan bersabar dan bersabar.
8] Latih untuk banyak berinfaq.
9] Pergiatkan ibadah pada 10 malam terakhir dan beriktikaf.
10] Jaga kesihatan dengan baik. Kurangkan makan dan minum.

Sedikit Pesanan : “ Jadilah Hamba Allah bukannya Hamba Ramadhan.”

Tuesday, September 2, 2008

Ingatan untuk mendapat yang TERBAIK


Boleh Save dan print dan edarkan kepada rakan-rakan..



Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga APIUM daripada Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM)

Sunday, August 31, 2008

Hakikat Merdeka

Assalamualaikum w.b.t dan salam kemerdekaan,

Tanggal 31 Ogos menjelma lagi. Tarikh keramat yang saban tahun mengisi kalendar sebagai tarikh kemerdekaan tanah air tercinta kita, iaitu Malaysia.Pelbagai kejayaan,kegemilangan dan perubahan telah dilakar seiring usia kemerdekaan yang menganjak ke 51 tahun ini.

Maka, sejajar dengan kematangan usia ini seharusnya bangsa Malaysia khususnya umat Islam tidak terleka,cuai atau lalai dalam arus globalisasi masa kini. Kemerdekaan yang kita kecapi kini bukan sahaja perlu dipertahankan malah kita perlu mengelakkan dari ancaman penjajahan fizikal, pemikiran dan jiwa. Bukan sahaja sekadar sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang untuk tempoh tertentu, siaran program dan rancangan televisyen berkaitan kemerdekaan, konsert-konsert hiburan dan laungan ‘merdeka’ di Dataran Merdeka semata-mata. Oleh itu, peluang mengecapi kebebasan ini wajib diisi dan dihayati dengan bijaksana dan penuh kebertanggungjawaban.

Selaku mahasiswa Islam, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa masyarakat mengharapkan kita untuk menjadi pencorak masa hadapan yang lebih gemilang. Namun, siapa yang harus dipersalahkan apabila wujud segelintir mahasiswa Islam yang menonjolkan imej bangsa penjajah, mengamalkan gaya hidup dan pemikiran Barat, terjebak dengan dunia dadah dan pelacuran lantas hilang langsung identiti serta semangat cintakan Allah dan rasulNya.Kita susuri kembali hakikat sebenar merdeka bagi seorang muslim.Hakikat sebenar merdeka itu adalah apabila seorang muslim itu tunduk dan patuh kepada perintah Allah .Di dalam hatinya hanya ada Allah. Merdeka bagi seorang muslim adalah apabila dia berjaya memerdekakan dirinya daripada perhambaan kepada manusia yang zalim dan tuntutan-tuntutan duniawi yang melalaikan. Malah merdeka bagi seorang muslim juga adalah apabila menjadi ’abdun yang soleh dan berjaya menundukkan dirinya kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, marilah kita membina kehebatan dalam nilaian dan pandangan Allah.Apalah gunanya kita membina kehebatan dan kemerdekaan di mata manusia,sedangkan di pandangan Allah kita merupakan insan yang jelik dan hina di atas jenayah, dosa dan noda yang kita lakukan di atas muka Bumi ini. Akhir kata, renung-renungkan kembali dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM”

IZZAT AMIN BIN MOHD NASIR

YDP PMAPIUM SESI 08/09

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO