Saturday, July 16, 2011

Amalan Nisfu Syaaban


Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas



Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:



Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”



Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”



Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Solat Sunat Nisfu Syaaban



Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]



Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”



Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.



Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa Rasulullah sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan terang-terangan dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah sama ada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.



Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.



Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.



Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.



Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.



Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]



“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]



“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]



Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.



Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…



Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”



Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).



Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.



Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”



Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).



Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).



Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.



Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”


Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”


Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”



Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.



Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).



Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.



Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”



Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.



Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”



Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.



Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.



Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”



Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.



Rujukan : http://www.darulkautsar.com

Friday, July 15, 2011

Peristiwa Hadith Al-Ifki : Iktibar di Bulan Sya'ban


Bulan Sya'ban sudah berada dipertengahannya. Semakin hampir untuk meninggalkan kita semua. Dikesempatan yang diperolehi ini, marilah kita menyelak lembaran sejarah bulan mulia ini. Pristiwa Hadith Al-Ifki antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini.


Maksud Hadith Al-Ifki

Hadith beerti kata-kata, al-ifki beerti penipuan dan tohmahan. Nama lain bagi hadith al-ifki ialah khabar al-ifki yang bermaksud berita penipuan.

Hadith al-Ifki merujuk kepada kata-kata yang dusta dan tohmahan yang dilemparkan kepada Saidatina Aishah r.a yang dituduh melakukan perkara yang tidak baik (berzina) dengan seorang sahabat nabi bernama Safwan bin Mu'attol ketika pulang daripada peperangan Bani al-Mustoliq atau juga dikenali sebagai Perang Al-Muraisi'.

Waktu Berlakunya Hadith Al-Ifki

Peperangan Bani Mustoliq berlaku pada bulan Sya'ban tahun kelima hijrah. Sebelum berlaku peperangan ini, datang berita tentang Bani Mustoliq di bawah kepimpinan Al-Harith bin Abi Dharar telah berkumpul dan bersiap sedia untuk memerangi umat Islam. Maka Rasulullah segera memerintahkan umat Islam bersiap sedia menghadapi kabilah tersebut sebelum mereka datang menyerang. Dalam peperangan ini, golongan munafiqin yang sebelum ini berdolak-dalik untuk keluar berperang turut serta bersama Rasulullah saw. Manakala Rasulullah saw pula. sepertia kebiasaaan, baginda akan melakukan pengundian bagi memilih salah seorang interi baginda bagi turut sama dalam peperangan. Isteri yang naik undiaannya akan terpilih menemani Rasulullah saw dalam peperangan tersebut. Pada kali ini, undian kena kepada saidatina Aishah r.a dan beliau turut sama dalam peperangan menemani Rasulullah saw.

Peperangan ini berlaku di Lembah al-Muraisi', tempat berkumpul Bani al-Mustoliq dan telah berakhir dengan kemenangan bagi kaum muslimin dengan mendapat tawanan yang ramai. Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peperangan inilah berlaku peristiwa Hadith a-Ifki yang merupakan ujian hebat yang pernah menimpa maruah ahli bait Rasulullah saw dan umat Islam dalam sejarah. Semua ini hasil propaganda golongan munafiqin dam muslimin yang terpedaya dengan hawa nafsu serta tidak berhati-hati menerima sebarang berita yang tidak pasti.


Hadith al-Ifki dalam al-Hadith

Kisah ini turut diceritakan secara terperinci dan diriwayatkan dalam kebanyakan kitab tafsir dan hadith muktabar termasuk sahih Bukhari dan Muslim, di mana empat orang sahabat meriwayatkan hadith ini dengan lafaz yang berbeza tetapi maksud yang sama. Daripada saidatina Aishah r.a sendiri dalam hadith yang panjang yang bermaksud :

Bahawa saidatina Aishah r.a berkata : "Rasulullah saw apabila ingin musafir melakukan pengundian di antara isteri-isteri baginda, maka sesiapa yang keluar undiaanya maka Rasulullah akan ditemani olehnya.

Kata Aishah : Maka kami melakukan pengundian di antara kami dalam satu peperangan yang diserta oleh Rasulullah saw, kemudiaanya keluarlah undia bagi Aishah ra. Maka Aishah keluar bersama Rasulullah saw, dan ketika itu selepas turunnya perintah berhijab. Dan aku berada dalam sekedupku. Maka kami berangkat hingga setelah Rasulullah selesai daripada peperangannya dan ingin kembali ke Madinah, baginda mengizinkan gerombolan untuk berangkat pada waktu malam. Aku berdiri ketika mereka diizinkan untuk beringkat, kemudian berjalan hingga berada agak jauh daripada tentera Islam (untuk menunaikan hajat). Apabila aku selesai menunaikan hajatku, aku kembali ke gerombolan itu. Kemudian aku memegang dadaku, aku dapati kalungku buatan Zafar, Yaman telah terputus. Maka aku berpatah balik dan mencari kalungku dengan harapan menjumpainya. (Dalam masa yang sama) gerombolanku telah berangkat bersama sekedupku dalam keadaan mereka menyangka aku berada di dalamnya.

Aishah berkata:Wanita-wanita pada ketika itu ringan iaitu tidak berat dengan daging lemak badan,(kerana) mereka makan sedikit. Maka, mereka tidak merasa perbezaan sekedup itu ketika mengalih dan mengangkatnya, dan aku wanita yang masih muda. Maka unta itu dibawa pergi dan mereka pun berangkat. Aku menjumpai kalungku selepas tentera-tentera itu pergi. aku kembali ke penempatan gerombolan tadi, tetapi tiada lagi sesiapa yang tinggal. Aku kembali ke tempat rehatku sebelum ini dengan harapan gerombolan itu akan menyedari kehilanganku dan kembali kepadaku.

Ketika aku duduk disitu, aku mera mataku amat mengantuk dan aku tertidur hingga ke subuh. Manakala Safwan bin al-Mu'attol al-Salmy al-Zakwany yang berehat atau tidur pada akhir malam di belakang tentera Islam (kerana sesuatu hajat), pagi itu sampai di tempatku berehat dan dia melihat ada bayang manusia sedang tidur dan dia mendekatiku lantas mengenaliku apabila melihatku kerana dia pernah melihatku sebelum aku aku memakai hijab. Kemudian, aku terjaga kerana mendengar istirja'nya (membaca Inna lillah wa inna ilaihi raji'un) ketika dia mengecanku. Lantas, dia membawa haiwan tunggangannya dan mendudukkannya, lalu aku menaiki tunggangannya itu. Dia memimpin tunggangannya hinggalah kami tiba di tempat tentera islam berehat pada waktu tengah hari yang sangat panas, lalu musnahlah segala-galanya tentang diriku (menjadi buah mulut orang) dan orang yang bertanggungjawab membesar-besarkan ialah Abdullah bin Ubai bin Salul.

Peristiwa ini telah menzahirkan tembelang golongan munafiqin yang sebenar terhadap Rasulullah dan Islam. Oleh itu, ia seharusnya memberi pengajaran kepada mukmin untuk berhati-hati menerima sesuatu berita yang dipastikan kesahihannya dan menjelaskan bahayanya berburuk sangka tambahan lagi ianya berkaitan dengan maruah orang-orang mukmin yang tidak berdosa. Selain itu, terdapat pelbagai hikmah lain yang dapat diambil dari peristiwa ini iaitu sememangnya menurut sunnatullah, hamba itu akan diuji, tambahan lagi hamba yang tinggi keimanannya kepada Allah, dan ini juga membuktikan kebesaran dan kasih sayang Allah kepada hambaNya apabila menyucikan kembali saidatina Aishah ra daripada fitnah yang melandanya. Sya'ban yang masih tinggal beberapa hari ini, mari kita memenuhinya dengan amal ibadah yang terbaik serta ikhlas. Sebelum ianya berlalu pergi meninggalkan kita.Itulah tanda kesyukuran kita kepadaNya kerana belum pasti kita mampu untuk bertemu lagi Sya'ban di tahun hadapan.. =)


Tuesday, July 12, 2011

3 Pesanan kepada Pemuda dan Remaja Islam

Pemuda sebenarnya memerlukan 3 perkara,dan ketiga-tiga ini sungguh berat untuk pemuda jika ia benar-benar hayati dan amalkan. 3 perkara yang perlu pemuda ada ialah :-

1- Hati yang bersyukur




Firman Allah yang bermaksud :

" ... jika kamu bersyukur,nescaya kami tambah nikmat untuk kamu dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih... "

Bertepatanlah dengan diri kita, bersyukur senang disebut tapi susah nak diamalkan. Sikap manusia yang kekadang ego dan lupa akan nikmat sering memahami erti dan makna syukur itu hanya pada ketika dianugerahi kesenangan, namun susah untuk mengamalkannya ketika menghadapi ujian dan kesulitan. Oleh itu, marilah kita bersyukurlah ketika senang dan ketika diuji kesulitan.

2. Lidah yang berzikir



Firman-Nya yang bermaksud:

"... dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.. "


Terkadang bila ujian mencengah, sukar untuk kita amalkan zikir. Di kepada terlintas pelbagai fikiran negatif. Marah dan dorongan nafsu yang menyokong fikiran-fiikiran negatif tersebut. Mari betulkan, semoga kita istiqamahkan zikir ini ketika senang mahupun susah. Membaca al-Quran itu berzikir,mengingati keagungan Allah disebalik keindahan alam ini juga berzikir, mendampingi ulama dan menuntut ilmu dari mereka juga boleh mengingatkan kita kepadaNya. Abapila kesusahan datang menjengah, hapuskan fikiran-fikiran negatif, Allah menguji kerana Allah ingin kita kembali kepadaNya..MengingatiNya dan memohon kepadaNya..

3. Jasad yang bersabar



Maksud firman Allah :

".. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bersabar..."


Sabar juga sama seperti bersyukur dan mengingati Allah. Mungkin kita mudah bersabar andai ujian itu masih mampu kita hadapi. Namun bila mana arus deras menongkah, kadang kala kita rasa kaki ini jenuh untuk melangkah, nafas terasa semput dan dada terasa sesak. Ketahuilah saat ini, sabar itulah yang sebenarnya sangat diperlukan. Ada pepatah mengatakan, sesungguhnya kesabaran itulah kunci dan jalan keluar sebuah kesulitan.


Itulah tiga perkara yang perlu menjadi bekalan kita pemuda-pemuda Islam. Ayuh sama-sama kita istiqamahkan tiga perkara ini dalam kehidupan kita. Insya Allah, kita akan menjadi yang sejati,yang mampu memikul amanah dan melaksanakan syariah Allah di muka bumi ini.. Dan pemuda-pemuda inilah yang ditunggu ummat untuk memimpin.

-rujukan juga

Monday, July 11, 2011

Hikmah Disebalik Dugaan


Setiap manusia akan diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian dari Allah S.W.T.Kita hendaklah tabah dalam mengharungi segala ketentuan dan ujian Allah kepada umatnya. Setiap musibah yang menimpa makhluk ada hikmah di sebaliknya.



Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian daripada dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Dugaan dalam kehidupan manusia sering bertali arus dalam kehidupan kerana nilai dugaan yang cukup besar harganya.Manusia perlu menghadapinya dengan sepenuh kekuatan yang diberikan Allah dalam jiwa melalui kekuatan iman dan akal fikiran.

Ketahuilah bahawa musibah datang merupakan ujian bagi hamba sama ada benar imannya dan mana yang dusta.

APA YANG MESTI DILAKUKAN OLEH ORANG YANG BERIMAN JIKA MUSIBAH DATANG

1. Meyakini bahwa semua musibah datangnya dari Allah

Prinsip ini harus kita pegang, agar kita tetap istiqamah

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah al-hadid : 22)




2. Menyedari kesalahan kita apabila musibah itu datang kerana dosa kita.

Ini adab kita di hadapan Allah, sekalipun semua musibah dari Allah, agar kita tidak menyalahkan Allah tetapi menyalahkan diri sendiri.



Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

(Surah Al A’rof: 23)




Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri. maka berhala-berhala Yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan Yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.

(Surah Hud: 101)



3. Apabila ujian datang berupa kebaikan

Prinsip ini harus kita pegang, agar kita tidak sombong sekalipun kita yang lakukan, kerana mustahil kita memperoleh kebaikan tanpa kehendak dari Allah.




Maka bukanlah kamu Yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah Yang menyebabkan pembunuhan mereka. dan bukanlah Engkau (Wahai Muhammad) Yang melempar ketika Engkau melempar, akan tetapi Allah jualah Yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang Yang beriman Dengan pengurniaan Yang baik (kemenangan) daripadanya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

(Surah al-Anfal :17)




4. Berfikir, mengapa musibah tiba?

Dengan berfikir demikian kita menjadi orang yang selalu ingat dan takut kepada Allah.


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah Bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." ( Surah Al An’am: 11)




5. Berlindung kepada Allah dari kejahatan musibah

Mengapa demikian? Kerana kita tidak mampu menolak musibah, musibah pasti ada, tetapi kita berlindung kepada Allah dari musibah.



6. Bertawakal kepada Allah

Bertawakal maksudnya menjadikan Allah sebagai penolong kita dari semua urusan.

Katakanlah, ”Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal. (Surah At Taubah: 31)


7. Bersabar atas ujian Allah

Apabila kita mendapatkan ujian berupa kesengsaraan, hendaklah bersabar dan meningkatkan harapan kita kepada Allah. Tetapi bila ujian itu berupa kesenangan, hendaknya kita bersyukur dan meningkatkan takut kepada Allah, agar kita tetap waspada dan istiqamah.

8. Berbaik sangka kepada Allah

Tidaklah Allah menguji orang mukmin melainkan kerana Dia menyenanginya dan kerana untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat.

Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian, dan bila Allah suka kepada kaum, maka mereka diuji. Jika mereka redha maka Allah redha dan bila dia marah, Allah pun akan marah kepadanya. (HR. Tirmidzi)

9. Tidak putus asa tetapi berharap rahmat-Nya



Dia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu Yang berlainan. dan Aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir Yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. kepadaNyalah Aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang Yang mahu berserah diri"..( Surah Yusuf: 67)




PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO