Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Monday, June 29, 2009

ISU BAHASA INGGERIS: ANTARA RASIONAL DAN KEANGKUHAN

Berdasarkan soal selidik secara online yang dilancarkan oleh laman web rasmi akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times pada 9 Jun lalu didapati lebih daripada 87.83% daripada 1027 responden menyokong penuh hasrat kementerian pelajaran Malaysia untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai salah satu subjek lulus SPM. Jika dasar ini terlaksana, ia bermakna setiap pelajar yang mengambil peperiksaan SPM adalah WAJIB lulus dalam subjek bahasa Inggeris iaitu sekurang-kurangnya mendapat gred 8E untuk melayakkan mereka mendapat sijil terpenting dalam sistem pembelajaran di negara ini..

Harus diberi perhatian oleh rakyat Malaysia bahawa masih terdapat beberapa isu berkaitan pendidikan yang masih belum dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan khususnya kementerian pelajaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Isu yang paling utama pada hari ini adalah isu PPSMI yang terus mencetuskan pelbagai polemik dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat sama ada di peringkat masyarakat bawahan sehinggalah ke peringkat parlimen Malaysia sendiri.

Menurut kajian yang telah dijalankan Februari lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan dengan jelas menyatakan dasar PPSMI gagal ataupun langsung tidak memberi kesan positif kepada pelajar. Sampel PEMBINA adalah 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.

Selain dasar tersebut yang dilihat begitu lemah sekali dari sudut pelaksanaan dan keberkesanannya, timbul pula persoalan dari segi keupayaan tenaga penggerak utama dasar tersebut iaitu guru-guru yang mengajar di sekolah. Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian PEMBINA itu juga mendapati masih terdapat ramai guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.

Kemudian persoalan yang timbul adakah tenaga pengajar juga mencukupi bagi memenuhi hasrat kerajaan tersebut. Dipercayai bilangan guru-guru untuk mengajar kedua-dua subjek tersebut adalah sama sekali tidak mencukupi sama ada di bandar ataupun luar bandar. Nisbah bilangan guru dan murid yang tidak seimbang di dalam kelas memungkinkan kurangnya keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Justeru, hal ini jelas menunjukkan kegopohan pihak kerajaan dalam melaksanakan dasar ini telah sedikit sebanyak membantutkan perkembangan dan kemajuan pelajaran para pelajar di sekolah.


Selain itu, jika diamati dengan teliti, kesan daripada mewajibkan subjek bahasa Inggeris ini pastinya tidak akan terlalu membawa pengaruh yang besar kepada peningkatan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan pelajar. jika kita lihat situasi hari ini pun antara syarat kemasukan ke IPTA mahupun IPTS adalah lulus bahasa Inggeris dengan kepujian ataupun sekurang-kurangnya lulus. jika pelajar gagal mendapat kepujian ataupun gagal dalam bahasa Inggeris kesannya juga adalah besar iaitu gagal memasuki institut pengajian tinggi. jadi, persoalannya ialah apa bezanya dengan sistem yang kerajaan hendak perkenalkan itu?.

Berbalik kepada isu PPSMI, kajian PEMBINA juga mendapati di sekolah rendah, sumbangan PPSMI adalah rendah khusus bagi mata pelajaran Sains. Ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja.

Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris. Di Sekolah Menengah Aliran Sastera pula bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya juga dikatakan rendah. Bagi Matematik ia hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.. Di Sekolah Menengah Aliran Sains pula hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan

Masyarakat umum dan para pejuang bahasa Melayu khususnya bukanlah tidak setuju dengan hasrat dan keprihatinan kerajaan yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh dalam usaha meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, namun jika diperhatikan dengan teliti terdapat beberapa perkara yang dilihat sumbang dalam proses tersebut. Kita dapat melihat pihak yang terlibat hanya lebih mengkaji dan suka memperkenalkan sistem baru dalam sistem pelajaran tanpa memberi perhatian kepada isi kandungan pelajaran itu sendiri. Contohnya pembelajaran subjek bahasa Inggeris itu masih kelihatan beku dan kaku, tiada pembaharuan positif yang dapat dilihat dalam proses P&P semenjak beberapa dekad sama ada di peringkat rendah ataupun menengah.

Penyelesaian yang paling ideal ialah memperkasakan dahulu pengajaran ataupun silibus subjek bahasa Inggeris tersebut di semua peringkat sebelum kaedah lain diguna pakai. Cadangan pakar pendidikan, Prof Isahak Haron harus dipertimbangkan iaitu ' bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan' ( english in context of content) yang memberi perhatian kepada kosa kata, tatabahasa dan semangat budaya penggunaan bahasa.

Profesor Diraja Ungku Aziz ketika berucap Merasmikan Kolokium Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dan Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid telah menyarankan supaya pihak kerajaan merombak semula kaedah pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu dalam kalangan pelajar sekolah. Menurut beliau, cadangan itu dibuat kerana beliau berpendapat pelaksanaan PPSMI tidak semestinya akan meningkatkan penguasaan pelajar kita dalam bahasa tersebut.

“ kita bercakap daripada segi pengajaran dan pembelajaran bahasa, soal penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik tidak timbul,” tegas beliau.

Tambahnya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris ialah dengan menambah masa pembelajaran di sekolah dan mengubah sistem pengajaran mengikut kesesuaian usia pelajar.

“ sains dan matematik tidak tertakluk pada penggunaan bahasa Inggeris kerana kedua-dua mata pelajaran itu sendiri merupakan bahasa simbolik. Jadi dua mata pelajaran ini boleh diajar dalam pelbagai bahasa. Malah dengan ada banyak rujukan dalam bahasa Melayu, saya fikir tidak ada masalah untuk menguasai bidang-bidang ini,” ujarnya.


Profesor Diraja Ungku Aziz juga dalam satu wawancara di sebuah rancangan bual bicara menyatakan bahawa masalah akan timbul kepada pelajar Melayu apabila kerajaan memperkenalkan PPSMI secara tergesa-gesa. menurut beliau pelajar Melayu terutamanya yang lahir di luar bandar sejak dari kecil telah diasuh dengan penggunaan bahasa Melayu secara seluruhnya, mereka telah selesa dengan bahasa tersebut dalam proses hidup dan juga pemikiran mereka adalah dalam bahasa Melayu. apabila mereka melihat imej 2+2 mereka akan berfikir menggunakan bahasa Melayu iaitu ' dua tambah dua' bukannya 'two plus two'.

Inilah masalahnya, kerajaan dari sudut lain dilihat bukan sahaja perlu mengemas kini sistem akademik nasional dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, malah sebenarnya kerajaan berhadapan dengan cabaran untuk menukar gaya hidup dan budaya masyarakat di Malaysia. Mana mungkin proses penguasaan itu hanya dapat dilakukan dengan beberapa perubahan sistem yang dilihat amat rapuh itu. Tetapi kerajaan perlu merangka pelan mapan yang meliputi beberapa peringkat kajian menyeluruh dalam budaya serta gaya hidup masyarakat itu sendiri. Sesungguhnya para guru dan dasar yang diperkenalkan pada hari ini tiada kuasa ajaib yang mampu meningkatkan penguasaan bahasa pelajar tanpa pengaruh daripada atmosfera perubahan gaya hidup, budaya serta sikap masyarakat itu sendiri.

secara rasional, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa terpenting pada hari ini. Namun, pihak kerajaan juga harus memikirkan secara rasional dalam segala perancangan mereka. Pihak kementerian pelajaran perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam mengkaji hasrat mereka dalam mewajibkan bahasa Inggeris sebagai syarat sijil SPM yang terdiri daripada para cendekiawan yang berkelayakan dalam lapangan kepakaran tersebut tanpa mengira ideologi politik mahupun etnik. Jangan program baharu tersebut menerima nasib yang sama seperti PPSMI yang terus menjadi isu yang masih belum mencapai titik penyelesaiannya hingga kini.

Berbalik kepada soal selidik yang dijalankan oleh New Straits Times yang menunjukkan majoriti responden menyokong penuh hasrat kerajaan mewajibkan mata pelajaran bahasa Inggeris tersebut. Perlu diingat bahawa New Straits Times adalah akhbar berbahasa Inggeris yang mana majoriti pembacanya adalah terdiri daripada golongan bukan Melayu dan terdiri daripada masyarakat bandar. fikirkan jika kajian tersebut dijalankan oleh akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian, apakah pula hasilnya?, mungkin sebaliknya.



ZULKEFLY SAID

EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL

PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM

UNIVERSITI MALAYA

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO