Tuesday, August 23, 2011

24 Ramadhan : Sejauh Manakah Kita Menjaga Hubungan Baik Sesama Islam




Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….



Tinggal beberapa hari lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan pengampunan serta pembebasan diri daripada api neraka.Bulan yang mendidik dan muhasabah diri kita untuk bekalan akhirat kelak dengan menuju jalan yang diredhai Allah SWT.



Islam adalah suatu cara hidup yang syumul. Islam bukan sekadar iman dalam jiwa, malah hendaklah diamalkan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, bersesuaian dengan maksud Islam sebenar, iaitu selamat, sejahtera, aman, dan damai.



Mengeratkan tali persaudaraan atau silaturrahim sesama Islam amatlah dituntut.Lantaran itu umat Islam haruslah mengikut segala yang diberikan oleh Allah S.W.T pedoman yang lengkap berkaitan kehidupan seharian umat Islam seperti yang digariskan al-Quran dan Sunnah. Manusia tidak boleh lari walau sesaat pun daripada adunan yang disediakan oleh Islam.



Namun banyak unsur negatif yang berlaku di dunia ini hinggakan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat dilihat sebagai salah satu cabaran utama masa kini.Islam menganjurkan umatnya agar bersatu dan menjaga hubungan sesama manusia



Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (al-Maaidah: 2)




Ayat tersebut menggesa agar kita tolong-menolong atas kebaikan dan ketakwaan dan Allah s.w.t tegas melarang perkara yang boleh membawa kepada dosa atau permusuhan mahupun dengan ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga, masyarakat, majikan dengan pekerja, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya.



Walaupun bulan Ramadhan ini mendidik diri kita agar mengamalkan amaln-amalan yang berguna iaitu seperti membaca al-Quran,berzikir,bersedekah,solat terawih berjemaah ,mengeluarkan zakat dan sebagainya tetapi bukanlah sekadar amalan tersebut yang perlu kita jaga akan tetapi amatlah penting jika kita menjaga hubungan sesama manusia dengan sebaiknya kerana boleh membawa kepada kesepaduan ummah.



Kita digesa agar saling tolong-menolong atas kebaikan dan ketakwaan dan Allah s.w.t tegas melarang perkara yang boleh membawa kepada dosa atau permusuhan mahupun dengan ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga, masyarakat, majikan dengan pekerja, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya.


Konsep tersebut amat jelas kerana kita mempunyai nafsu dan akal, namun kedua-duanya ini ada kalanya tidak seimbang.



Nafsu tidak boleh dibuang kerana tanpa nafsu ia bukan sifat manusia tetapi malaikat. Nafsu dan akal ini adalah pelengkap, malahan menyebabkan kita hilang pedoman kerana tidak menggunakan akal dalam membuat sesuatu tindakan.



Akhirnya, hubungan tersebut membawa kepada permusuhan, perselisihan pendapat dan pandangan, perbalahan, persengketaan hingga membawa kepada satu fenomena yang tidak diredai Allah s.w.t.



Sikap manusia yang suka bermusuh-musuhan ini merupakan satu sikap yang ditegah oleh Allah s.w.t. Jika kita suka mengumpat, ia satu perkara yang diharamkan. Namun masih dilakukan juga kerana ia adalah nafsu. Begitu juga dengan fitnah kerana ia lebih dahsyat dan besar dosanya daripada membunuh.



Masyarakat Islam adalah sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada akidah seperti undang-undang, hukum, peradaban dan tata susila.




Riwayat bukhari : ” tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana gaduh) lebih dari tiga hari..yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam” ( al-Bukhari)



Nabi juga sebut : ” Silaturahmi itu tergantung di arasy lalu berkata : “Sesiapa yang menyambungku (silaturahmi) maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan ku maka Allah akan memutuskannya” ( Al-Bukhari 4/112 )



Nabi juga sebut : Tidak masuk syurga sesiapa yang memutus silaturrahim ” ( al-Bukhari)

Apakah hukum orang yang tidak bertegur selama 3 hari walaupun mereka hidup berjemaah bersama-sama?


Jawapannya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya; “Siapa yang tidak bertegur sapa akan seseorang Muslim selama 3 hari, maka matinya masuk neraka.” (Muslim)



Manusia tertakluk untuk memelihara dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).



Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan , seperti mana Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga. Kita saling memerlukan antara satu sama lain dan saling bergantungan untuk meneruskan survival kehidupan.



Dalam Islam, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan jual beli, kerja,belajar,perubatan,penyaksian di mahkamah dan sebagainya.



Kita digalakkan untuk saling mengenali antara satu-sama lain dan ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat : ayat 13 yang berbunyi ;



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).



Nabi s.a.w pernah mengajarkan umat baginda, apabila berada dalam kesusahan, kita perlu melihat orang yang lebih susah. Begitu juga sebaliknya. Secara tidak langsung, tidak timbul perasaan sedih dan tertekan atau sombong atau bongkak.



Hakikatnya, komponen manusia ini mengandungi empat: jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Bagaimana sihat sekalipun tubuh badan tetapi jika tidak mempunyai hubungan yang baik dengan sesama manusia, akhirnya seseorang itu digambarkan tidak sihat dan walau bijak sekalipun seseorang itu, oleh kerana tidak ada hubungan yang baik sesama manusia, akhirnya kebijaksanaan itu akan terganggu juga.



Rasulullah s.a.w menjelaskan menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari)



Ini bermakna, perlu ada konsep kasihkan diri sendiri dan kasihkan orang lain. Soal emosinya pula, manusia tidak akan tenang kerana Allah telah menjadikan manusia dengan memiliki satu naluri fitra semulajadi dan tidak boleh hidup bersendirian.



Jika hubungan sesama manusia ini tidak dijaga, maka akan berlaku permusuhan, perpecahan, dan mungkin juga peperangan.



Untuk mengekalkan keharmonian ini, masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada nilai ini perlu dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua perkara
.


Masyarakat atau umat yang tidak mementingkan hubungan silaturahim adalah masyarakat yang tiada kekuatan dan jauh daripada keberkatan di sisi Allah.

Dengar dan renungkanlah...



PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO