Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.
Showing posts with label Kalam Pimpinan. Show all posts
Showing posts with label Kalam Pimpinan. Show all posts

Friday, June 17, 2011

BICARA MAYA SEMPENA HARI BAPA




Ibu-bapa mempunyai kedudukan di sisi Allah swt sehingga Allah swt memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.




Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:



"dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah Engkau membentak keduanya, tetapi Katakanlah kepada keduanya perkataan yang baik."



(Al-Isra 23)



Pengorbanan lelaki bergelar ayah tidak boleh dinilai dengan wang atau harta benda. Segala kesusahan ketika membesarkan kita dari kecil hinggalah saat amatlah besar pengorbanannya. Pandanglah pengorbanan seseorang ayah dengan mata hati , pasti kita dapat melihat apa yang tersirat melalui yang tersirat. Tidak dilupakan, sebagai seorang anak kita juga dituntut supaya mengenang akan jasa dan pengorbanan ibu kita. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"dan Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."



(Luqman 14)



Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak yang sanggup mendera,membiarkan malah sanggup mencederakan ibu mereka apabila kehendak hati mereka tidak dipenuhi. Anak yang menderhaka juga adalah disebabkan hilangnya nilai keimanan dalam diri seseorang(tidak usaha di atas iman mereka) dan jiwa mereka di kuasai nafsu.T ekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan intitusi kekeluargaan makin rapuh.



Sahabat-sahabat yang di rahmati Allah,



Bagi anak-anak jasa dan pengorbanan ibu bapa sangat besar nilainya. Mereka dengan penuh rasa tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara anaknya hingga menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Seorang anak yang diasuh dan dididik dengan nilai agama, hendaklah memberi penghormatan dan kasih sayang sewajarnya kepada mereka.



Kita hendaklah menunjukkan rasa terima kasih dengan sentiasa berbuat baik dan tidak melanggar segala perintahnya, menjaga perasaannya jangan sampai terluka serta menjaganya ketika mereka dalam tua atau uzur.



Marilah sama-sama berdoa:



"Ya Allah, ya Tuhanku, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, rahmatilah mereka dan kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihiku dan memeliharaku sejak dari kecil hingga dewasa."



Buat ayahanda tercinta, salam mesra terindah kukirimkan, salam mujahidah sesuci telaga kauthar , salam sayang yang harumnya bak kasturi, salam penghormatan, kasih dan cinta yang tidak pernah pudar dalam setiap musim dan masa.



Terima kasih ayah atas segala-galanya, doa ibu membawa ke syurga, kasih ayah jalan ke syurga



Ingatlah wahai sahabat-sahabat,


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:



"Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu-bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu-bapa"



(Riwayat Tirmizi)



Penulis:


Nurul Ain bt Hashim


Timb. Exco Sukan & Rekreasi


PMAPIUM


Sesi 2011/2012




Thursday, May 12, 2011

Tubuhkan Koperasi Bagi Mengatasi Masalah Kewangan di Maahad Tahfiz.

Maahad Tahfiz merupakan salah satu institusi pendidikan penting yang sudah lama bertapak di Malaysia. “Ibarat tumbuh bagaikan cendawan selapas hujan”, Itulah gambaran yang saya boleh berikan dek kerana berbilangnya institusi ini baik di kawasan pendalaman mahupun elit, itulah realitinya. Saya tidak nafikan bahawa ramai cendiakawan ulung yang lahir dari institusi ini. Itu adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.



Saya merujuk kepada satu artikel terbitan Berita Harian bertarikh 10 Mei 2011 di ruangan surat pembaca iaitu berkaitan satu dakwaan supaya mengentikan kerahan tenaga pelajar tahfiz melalui jualan amal. Bila saya teliti isu ini, ada benarnya dakwaan tersebut iaitu berkaitan jualan amal mahupun kutipan derma yang dilakukan oleh segelintir pelajar-pelajar Maahad Tahfiz baik di stesen minyak ataupun di mesin ATM di kawasan bandar. Isu sekarang adalah apakah benar mereka dari kelompok pelajar-pelajar tahfiz ataupun sendiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah masyarakat kita yang menderma tanpa meneliti ke mana duit itu disalurkan?. Perkara ini perlu dikaji semula bagi membuktikan ketelusan penyaluran wang yang telah didermakan oleh mana-mana individu.



Bila saya membaca tulisan komentar dan keluhan yang telah dilontarkan, banyak sekali kritikan diberikan, malangnya tidak ada satu pun cadangan yang diutarakan untuk membaiki masalah ini. Cadangan saya kepada mana-mana pihak pengurusan Maahad Tahfiz yang ada supaya membentuk sebuah koperasi, premis perniagaan seperti Cyber Cafe, Kedai Dobi ataupun menyeluarkan produk-produk buatan sendiri milik pihak pentadbiran dan pengurusan Maahad Tahfiz di dalam kawasan masing-masing bagi menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti perniagaan. Jika cadangan ini berjaya dilaksanakan, saya yakin isu ini mampu diselesaikan jika sekiranya pelajar-pelajar berkenaan adalah pelajar-pelajar daripada Maahad Tahfiz.



Rentetan daripada terlaksananya aktiviti perniagaan seperti ini, kita sendiri akan dapat melihat penjaaan pendapatan bulanan yang lebih konsisten lagi sistematik yang akan diterima oleh pihak pengurusan Maahad Tahfiz sehingga berkembangnya peniagaan mereka pada tahun-tahun berikutnya. Inilah aktiviti sihat yang perlu difikirkan oleh pihak pengurusan mereka. Nah! bukan sahaja pendapatan dapat dijana oleh pihak pentadbiran Tahfiz al-Quran malahan pendidikan keusahawan turut diberikan secara tidak langsung dengan menggalakan aktiviti perniagaan kepada para pelajar.



Harapan saya supaya isu ini dapat diselesaikan dan cadangan ini mendapatan perhatian daripada pihak pengurusan Maahad Tahfiz. Sekadar pandangan dan lontaran idea peribadi yang mampu saya kongsikan bersama demi membangunkan institusi Maahad Tahfiz pada masa akan datang. InsyaAllah.



Mohd Afifi bin Ismail


Yang Dipertua


Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam (PMAPIUM)


Universiti Malaya


Sesi 2011/2012

Wednesday, September 16, 2009

UCAPAN NYDP PMAPIUM 09/10

Saya selaku NYDP PMAPIUM 09/10 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga APIUM khususnya kepada pensyarah-pensyarah dan kakitangan-kakitangan di Akademi Pengajian Islam UM. Ingatlah bahawa Hari Raya ini merupakan hari kemenangan umat Islam..
Undilah PRO-M!!

Thursday, January 1, 2009

TAHUN BARU MASIHI DAN HIJRAH: RASA LEKA VS RASA SYUKUR

Tahun baru yang tiba membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita umat manusia. Siang dan malam yang silih berganti tanpa jemu melengkapkan peredaran sehingga cukup setahun tidak kira tahun hijrah dan masihi yang akan disambut selang beberapa hari. Umat manusia menggaru kepala memikirkan kenapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja dilakukan, baru beberapa agenda dilaksanakan dan kenapa masa berputar sebegitu pantas.

Anak-anak di Palestin terus menghitung hari bila agaknya mereka merdeka kerana setiap hari mereka senantiasa mendengar dentuman bom dan nyanyian peluru yang tidak bermata oleh Yahudi dan Amerika. Anak-anak muda Malaysia menghitung waktu bila tahun baru masihi akan disambut untuk melihat konsert-konsert, berpesta minuman keras, berhibur sehingga melalaikan dan yang menjadi simbol tahun baru bermula dengan percikan bunga api di langit-langit bandaraya metropolitan di Negara Malaysia .
Tahun 1430 hijrah akan tiba dengan membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti erti sebuah kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Peristiwa hijrah yang disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam untuk bermuhasabah dan mengkoreksi diri selama setahun apa yang telah dilakukan dan tidak terhenti sekadar itu sahaja, tetapi hijrah perlakuan apa yang dilakukan untuk mendapat redha Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahsr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.”
Dalam ayat ini membawa kita meneliti setiap perincian detik waktu yang kita lalui sama ada diisi dengan perkara sia-sia atau dengan jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Apabila melihat situasi di Malaysia pengkoreksian dan muhasabah sering diabaikan terutamanya kepada anak muda apabila tibanya tahun baru apatah lagi tahun baru hijrah.

Jika ditanya kepada anak muda dan remaja kini “ apa yang anda faham erti hijrah?”. Semestinya ramai yang menggeleng kepala dan bertanya kembali sambil menggaru kepala tanda meminta kepastian “hijrah?”. Bermain di minda masyarakat kenapa anak muda sedemikian jadinya tidak mengerti langsung erti hijrah.

Hijrah yang harus difahami adalah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan Umat Islam Mekah ke bumi Madinah untuk menyebarluaskan agama Islam setelah 13 tahun berdakwah kepada penduduk Mekah dengan hasil yang sedikit. Bertitik tolak peristiwa hijrah inilah Islam berkembang pesat sehingga seantero dunia mengenali Islam sehingga ke hari ini. Bersempena dengan penghijrahan inilah perhitungan tahun hijrah dimulakan apabila Saidina Umar Al-Khattab khalifah Islam yang kedua memanggil sahabat-sahabatnya untuk berbincang perkiraan tahun Islam setelah banyak peristiwa yang bersejarah dilalui mereka dengan pelbagai perbezaan pendapat tentang tarikh-tarikh peristiwa tersebut. Saidina Umar Al-Khattab telah memutuskan bahawa 1 Muharram merupakan hari pertama tahun Islam sementara Hijrah sebagai tahun bersempena perpindahan Nabi Muhammad s.a.w ke bumi Madinah yang pada ketika itu yang dinamakan Yathrib. Sebenarnya 1 Muharram bukanlah tarikh tepat perpindahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Rasulullah s.a.w telah berpindah dari Mekah al-Mukarramah pada 1 Rabiul awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul awwal selepas 13 tahun menjadi Rasul. Saidina Umar r.a telah berijtihad dan memperawalkan 2 bulan untuk menjadikan 1 Muharram tarikh memperingati peristiwa besar perpindahan Rasulullah s.a.w.

Abu Mazaya Al-Hafiz dalam karangannya Sirah Dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W telah menceritakan bagaimana perit jerih Rasulullah s.a.w dalam perjalanan ke Madinah kerana musyrikin Mekah memburu Rasulullah. Bukan sekadar itu sahaja Saidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawanya menggantikan tempat tidur Nabi s.a.w ketika malam penghijrahan berlaku. Seharusnya selaku umat Islam kita perlu mengerti bahawa hijrah bukanlah hanya soal perpindahan dari Mekah ke Madinah tetapi lebih dari itu seperti pembebasan dari belenggu penyiksaaan musyrikin Mekah terhadap muslimin Mekah. Penghijrahan ini jugalah bermulanya pembentukan Negara Islam yang unggul sehingga dikagumi oleh semua bangsa dan negara pada ketika itu kerana mempunyai sistem pentadbiran yang teratur dan tersendiri berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Rasulullah juga mempereratkan dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar dalam memperkukuhkan Islam. Allah s.w.t merakamkan peristiwa persaudaraan ini dalam surah Al-hasyr yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin), dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan dan siapa yang dipelihara dari kebakhilan dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”

Dalam ayat ini Allah menceritakan bahawa bagaimana golongan Ansar membantu golongan Muhajirin Mekah dengan segala yang ada atas nama kecintaan persaudaraan Islam sehingga sanggup berkongsi apa sahaja dan sanggup memberikan separuh dari harta golongan Ansar kepada muhajirin.

Dengan peristiwa hijrah yang telah dilalui 1430 tahun ini seharusnya umat Islam mengerti erti sebenar hijrah agar dapat diimplimentasikan dalam kehidupan. Langkah NGO Teras Penggupayaan Melayu (TERAS) membesarkan tarikh hijrah ini amatlah dihargai kerana TERAS telah mengambil tarikh 1 Muharram sebagai tarikh muktamar justeru pengkoreksian gerak kerja yang dilakukan selama satu tahun. Presiden TERAS Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan bahawa tarikh 1 muharram ini dijadikan asas permulaan setahun kerana umat Islam sudah melupakan erti hijrah apatah lagi kesedaran terhadap Islam kian dipinggirkan maka sambutan 1 muharram haruslah diagungkan agar Islam dipandang tinggi.

Bagi Umat Islam tahun Hijrah ini adalah detik memuhasabahkan diri dengan perlakuan terdahulu. Pengkoreksian diri memungkinkan umat Islam mengerti erti keperibadian yang cemerlang berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. 1 Muharram juga Umat Islam digalakkan memohon ampun kepada kepada Allah s.w.t atas dosa-dosa lampau agar Allah membuka pintu taubat-Nya kepada hamba-Nya yang soleh. Ibadah-ibadah juga perlu diperbanyakkan menjelangnya tahun baru hijrah ini kerana Insan yang unggul adalah Insan yang lebih baik peribadi dan ibadahnya dari yang masa lepas. Nilai-nilai ibadah perlu dipertingkatkan supaya rohani jasmani senantiasa hampir dengan Allah s.w.t.

Kebanyakan di Malaysia 1 Muharram disambut dengan bacaan Yasin dan solat hajat secara berjemaah di peringkat surau, madrasah dan juga masjid. Dengan cara inilah umat Islam berkumpul mengkoreksi diri dan secara tidak langsung dengan pertemuan sebegini mengeratkan ukhuwah dan bertepatan dengan peristiwa hijrah iaitu merperkukuhkan persaudaraan. Dengan persitiwa tahun baru juga digalakkan umat Islam memaafkan kesalahan sahabat handainya untuk merapatkan silaturrahim justeru meninggkan martabat Islam.

Selang beberapa hari perpindahan tahun hijrah kepada 1430 hijrah, menjelang pula perpindahan tahun masihi dari tahun 2008 kepada 2009. 31 Disember menjadi penantian sebilangan anak muda terutamanya di kota untuk menyembut perayaan sambutan tahun baru dengan riang gembira dan diserikan lagi kononnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti hiburan konsert oleh artis-artis terkemuka, hidangan minuman keras, pesta seks, pesta buih, merempit dan sebagainya.

Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Bangsar dan Kuala Lumpur City Center KLCC menjadi tempat bertandang anak muda untuk mencari erti tahun baru. Apabila ditanya kepada anak muda “ apa erti sebuah tahun baru dan di manakah tahun baru wajar disambut?” pasti ramai yang menjawab erti sebuah tahun baru adalah kemerdekaan jiwa anak muda dengan berorientasikan hiburan dan di tempat-tempat hiburanlah harus disambut tahun baru. Kemeriahan tahun baru bukanlah hanya dirasai di Malaysia bahkan satu dunia menyambut kedatangan tahun baru ini dan sambutannya seakan-akan sama setiap negara seperti percikan bunga api dan juga konsert-konsert oleh artis-artis terkenal.

Selaku rakyat Malaysia yang prihatin saling bertanya sesama sendiri adakah dengan hiburan sebegini anak muda terutamanya berubah menjadi baik atau semakin teruk ditelan hiburan yang melalaikan.

Setiap tahun kita melihat di tempat-tempat yang menjadi tumpuan anak muda kelihatan sebuah masyarakat yang hancur ditelan kemodenan seperti selari dengan pembangunan yang dikecapi. Berbondong-bondong anak muda dengan pakaian ala barat yang diagungkan, anak-anak Melayu seperti hilang kemalayuannya dengan cara penampilan yang sangat asing dengan budaya tempatan seperti kembali ke zaman nomad yang tidak berbaju terutamanya perempuan, rambut-rambut yang diwarnakan dan segala macam jenis sifat yang sukar digambarkan di akal kita berada di bumi Malaysia yang telah merdeka 50 tahun. Persoalannya adakah kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun hanyalah dari segi kemerdekaan penjajahan kolonial dan tidak merdeka dari segi minda.

Sambutan tahun baru di Malaysia yang disambut satu malam untuk menyembut kehadiran erti setahun yang akan datang seakan-akan tidak bererti apabila masalah sosial semakin menjadi-jadi. Tanpa segan silu apabila percikan bunga api di udara mengagumkan penonton ada sebilangan anak muda Melayu yang berciuman seolah-olah kelihatan pesta sambutan tahun baru ini seperti di negara-negra barat bahkan lebih dari itu. Sambutan ini juga mencerminkan hilangnya nilai-nilai ketimuran yang didewakan oleh sesetengah pemimpin yang tidak turun melihat gelagat anak muda dewasa ini.

Tepat detik 12.00 malam tempat-tempat yang dikunjungi anak muda sudah tidak terkawal apabila lelaki dan perempuan berpelukan, menari bersama, berciuman, bahkan ada tempat yang menjadikan sambutan tahun baru sebuah pesta seks percuma. Selepas daripada detik percikan bunga api anak muda ada yang memperjudikan nyawa dengan merempit dan ada yang lebih dasyat lagi menunggu tarikh 1 Januari 2009 untuk berkelahi dan bergaduh sesama sendiri dan yang lebih menyedihkan bangsa Melayu sendiri yang melakukan perkara sedemikian. Jika kita masih meragui perkara ini, boleh sahaja kita melihat gelagat-gelagat ini terpampang di dada-dada akhbar dan paparan televisyen pada keesokan harinya.

Seharusnya semua pihak haruslah berganding bahu memikirkan masalah sosial yang menyelubingi anak muda Malaysia supaya mereka sedar erti sebuah tahun baru atau penghijrahan. Sememangnya anak muda yang berdarah panas kononnya mahukan hiburan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Haji Md. Hashim Haji Yahaya menyatakan bahawa program hiburan dan seumpamanya yang boleh diadakan bagi menyerikan kedatangan tahun baru seperti dendangan nasyid serta puisi Islami yang dapat membangkitkan kesedaran terhadap tangggungjawab serta perasaan cinta akan negara. Langkah ini telah diambil oleh Masjid Syakirin KLCC dengan mengadakan nasyid dan juga puisi-puisi Islami dalam menyambut sambutan tahun baru tetapi kehadiran pengunjung yang datang tidak sehebat konsert-konsert hiburan yang melalaikan oleh artis-artis terkenal. Kita bukalah menuduh bahawa konsert sebegitu tidak bagus tetapi konsert-konsert sebegitu haruslah berorientasikan Islam agar kesedaran cinta akan tanah air, agama tersemai kukuh berlandaskan cara Islam dan bukannya bertuhan cara barat yang songsang.

Program-program kesyukuran sambutan tahun baru perlulah diperbanyakkan agar masyarakat dapat menginsafi diri dan juga mengkoreksi diri supaya menjadi insan dan masyarakat yang benar-benar bertamadun. Pihak kerajaan perlulah memainkan peranan dalam soal ini di bawah pengelolaan menteri berwajib supaya hiburan rantaian hidonosme dapat dijauhi dan majlis kesyukuran sambutan tahun baru diperhebatkan.

Bantuan-bantuan NGO juga perlu diperkuatkan, langkah PEKIDA dan PERKID amatlah dihargai dengan membuat program-program untuk meleraikan masalah sosial anak muda Islam, tetapi tidak cukup dengan hanya dua NGO yang bertanggungjawab dalam hal ini tanpa dibantu oleh NGO lain dan yang penting bantuan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri.

Peranan yang terpenting perlu dimainkan adalah peranan ibu bapa. Ini kerana ramai yang hadir ke tempat-tempat sedemikian adalah remaja di bawah 18 tahun yang berada di bawah jagaan ibu bapa. Maka ibu bapa harus mengewasi tingkah laku anak supaya tidak tergelincir ke arah yang buruk.

Kehidupan yang dilalui perlulah bermatlamat jelas, semua pihak harus berganding bahu bersama-sama memperkukuhkan sambutan tahun baru ini dengan program dan majlis-majlis yang berfaedah yang bukannya berpaksikan hiburan semata-mata. Muhasabah diri perlulah menjadi teras program dan majlis yang disambut agar masyarakat mengerti sebuah kehidupan yang bermakna. Seluruh rakyat Malaysia haruslah menyemai nilai-nilai moral dan modal insan yang tinggi agar seluruh dunia memandang bahawa rakyat di Negara Malaysia adalah bertamadun tinggi dan perlu diteladani.

Zulzaidi
Exco Akademik Dan Intelektual,
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Thursday, October 23, 2008

PMAPIUM: MAHASISWA UM MEMBUAT LAPORAN POLIS

PMAPIUM: MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA MEMBUAT
LAPORAN POLIS BERHUBUNG ISU SENSITIVITI ISLAM

23 Oktober 2008- Mahasiswa Universiti Malaya telah membuat laporan berkenaan dengan isu kesucian Agama Islam berhubung isu kenyataan pihak pegawai Hal Ehwal Pelajar UPM yang menyentuh sensitiviti agama Islam dengan melontarkan kata-kata “TIDAK GUNA SOLAT KALAU TIDAK BAYAR YURAN” kepada seorang aktivis pelajar Universiti Putra Malaysia.

Zulzaidi Bin Mahmod dan Ahmad Shahir Abdul Aziz daripada Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) telah membuat laporan polis di Balai Polis Pantai untuk memohon kerjasama pihak yang bertanggungjawab supaya meneliti perkara ini secara rasional mengikut lunas undang-undang. Laporan yang dibuat dikaitkan dengan menyatakan bahawa pihak terbabit sengaja mencabar dan mempermain-mainkan kesucian agama Islam yang menjadi teras agama rasmi Malaysia di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Zulzaidi Bin Mahmod selaku Exco Akademik dan Intelektual PMAPIUM menyatakan bahawa kejadian sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana isu ini boleh membangkitkan kemarahan segelintir pihak dan sepatutnya perkataan sebegini tidaklah patut dilontarkan kepada sesiapa sahaja walaupun perbuatan ini dilakukan oleh orang Islam sendiri. Pihak PMAPIUM mengharapkan agar perkara ini tidak berulang lagi dan memohon kepada pihak yang terbabit jika benar menyatakan perkataan sedemikian supaya memohon maaf secara terbuka kepada Umat Islam khususnya.

POLIS REPORT NO: PANTAI/010291/08

Zulzaidi Bin Mahmod
Exco Akademik Dan Intelektual
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM)

Wednesday, October 22, 2008

Demam peperikasaan


Peperiksaan semakin hampir, makin ramai yang menghidap demam peperiksaan yang merebak tanpa ada antibiotic yang boleh menghalangnya.

Mabuk demam peperiksaan ada baiknya untuk kamu . Ia akan mendorong ke arah kewaspadaan dan kerja kuat bagi menghadapi hari peperiksaan . Bersiap sedia . Ghairah dan tekun.

Demam peperiksaan , tidak perlu diubati . Kecuali jika membawa kepada gejala sakit kepala , tekanan dan gelisah yang keterlaluan , sehingga menjejaskan diri . Ubatnya ialah tidur sekejap , menarik nafas panjang , berjalan-jalan , minum air , mandi , membaca Al-Quran , bercakap dengan ibu bapa dan mengingati sesuatu yang indah yang pernah kamu alami. Dan lain-lain .

Sebaiknya , biarlah demam peperiksaan menghangatkan semangat juang kamu dan menguatkan azam untuk berjaya dengan baik . Untuk diri sendiri , ibu bapa dan keluarga.

Katakanlah "Aku datang . Aku tidak takut . Aku berhak untuk mencuba . Aku belajar dengan penuh insaf dan sedar bahawa tidak ada jalan mudah untuk berjaya . Aku tidak akan menyerah kalah , malah aku yakin bahawa kejayaan adalah milikku".

Ringkasnya , demam peperiksaan amat baik untuk semua . Ia menyedarkan yang lalai . Ia mendorong ke arah kerja kuat dan bersiap sedia .

Kesenian dan Kreativiti

Sunday, October 19, 2008

Warkah Buat Pejuang

Assalamualaikum...
Bismillahirrahmaanirrahiim...

Sahabat. Warkah ini saya coret buat semua yang sedang berjuang. Mungkin saya bukanlah begitu dikenali semua. Namun dengan kehadiran coretan saya yang penuh kekurangan ini menjadi renungan dan titik permulaan dalam membakar semangat kalian meneruskan atau memulakan perjuangan yang hampir terhenti ataupun yang masih di permulaan.

Teruskan perjuangan kalian jika perjuangan itu atas landasan iman dan ketakwaan demi Tuhan sekalian alam. Tidak kira bagaimanapun corak perjuangan kalian, asalkan apa yang dilakukan itu sedikit sebanyak memberi impak yang berkesan kepada umat.

Sahabat. Perjuangan itu bukan mudah. Segalanya menagih kekuatan iman dan kadang-kadang mengundang air mata. Ada ketikanya kita melangkah gagah tersenyum megah dan ada ketikanya kita jatuh tersungkur rebah menyembah. Tetapi semua itu adalah satu kemanisan bagi yang sentiasa tabah.

Sahabat. Kita semua adalah da'ie. Bila kita sedar kita bergelar da'ie, kita juga perlu sedar bahawa jiwa kita tidak boleh selamanya menjadi remaja. Bak kata Al-Banna tanggungjawab itu melebihi masa yang ada dan tarbiah yang bersalutkan ilmu dan cabaranlah yang dapat mendewasakan kita. Maka penuhilah ilmu di dada selagi ada ruang untuk kita.

Sahabat. Jangan takut dengan musuh-musuhmu. hadapilah mereka walau dirumu bersendirian. Kita ada Allah pemilik segala kekuatan. Jika ada sejuta orang sekalipun yang mahu membinasakanmu, mereka takkan mampu jika tidak diizinkan Tuhan. Mereka juga milik Tuhan.

Sahabat. Jangan takut dengan kekalahan. Allah tidak menilai kalah atau menang dalam perjuangan. Biar kita kalah asalkan perjuangan kita masih di landasan. Jangan kita menang tetapi kemenangan itu atas penyelewengan dan penindasan.

Sahabat. Mungkin diri ini tidak sehebat kalian. Diri ini tidak sekuat dan setabah kalian. Diri ini penuh dengan kekurangan. Tetapi ruang ini adalah perjuanganku dan aku sentiasa di belakang kalian. Cuma satu yang inginku pesan....jangan takut dan jangan bersedih....Kerana kita ada Allah.

Teruskanlah perjuangan

Kembara Hati
Penulis MYPMAPIUM Blog

Wednesday, October 8, 2008

PMAPIUM MENYOKONG SAMBUTAN HARI GURU 2 KALI SETAHUN

Hari guru merupakan saat yang paling berharga bagi insan yang bergelar guru tatkala anak murid mengucapkan kata-kata memohon maaf, halalkan ilmu yang ditimba, mohon diberkatkan ilmu yang dipelajari, member sekalung bunga dan yang paling menggembirakan adalah ucapan terima kasih kepada guru. Menyingkap sajak Guru Oh Guru karya Allahyarham Usman Awang yang jelas menunjukkan bahawa segala profesion yang ada pada hari ini yang dipenuhi anak bangsa Malaysia adalah bermula dengan guru yang sabar tingkahnya.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis, baca.

Hari guru di Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 Mei adalah suatu penghargaan yang paling berharga dan bernilai kepada mereka yang bergelar guru. Kedengaran bahawa hari guru akan disambut 2 kali setahun disambut baik oleh Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM). Perbincangan yang masih dijalankan oleh persatuan-persatuan dan majlis berkaitan guru di negara in haruslah diteliti secara mendalam kerana sambutan ini bukanlah sambutan ulang tahun hari-hari biasa tetapi adalah sambutan meraikan guru yang sangat berjasa kepada tanah air. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah mengistiharkan Hari Guru Sedunia pada 5 Nov setiap tahun merupakan suatu langkah bijak. Sememangnya harus kita mengerti bahawa hari guru disetiap Negara seluruh dunia disambut pada tarikh yang berbeza seperti Negara Albania pada 7 Mac, Negara China pada 10 September, Czech Republik pada 28 Mac, Negara Russia pada 5 Oktober, Negara Taiwan 28 September, Negara Thailand 16 Januari, Negara Vietnam pada 20 November dan sebagainya.

Langkah PBB untuk meraikan hari guru sedunia merupakan langkah bijak untuk menyatukan seluruh Negara dalam menyambut hari guru ini. Hari guru yang disambut adalah untuk menghargai jasa mereka membanting tulang dan keringat, pengorbanan dan keperitan mendidik rakyat. Peranan guru dalam masyarakat dunia bukanlah satu peranan kecil bahkan guru-guru inilah yang dapat mencipta gelombang keintelektualan anak bangsa supaya lebih berdaya saing dari semua sudut. Walaupun sememangnya hari guru ini adalah wajar disambut setiap hari tetapi langkah meraikan pada tarikh dan waktu tertentu merupakan penghargaan yang amat besar dalan karier ini. Azizi Haji Abdullah dalam karyanya Memoir Seorang Guru telah menyedarkan bahawa tugas guru ini bukanlah hanya mengajar membaca dan menulis tetapi adalah melahirkan insan yang berilmu dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Wan Norzahidah bin Wan Ahmad Mahasiswi Pendidikan Islam Akademi Pengajian Islam menyatakan guru merupakan insan yang terpenting selepas ibu bapa dalam mengadun anak bangsa supaya cemerlang. Seorang guru pada hakikatnya bukanlah mahukan diri mereka disanjung dijunjung, dipuji dipuja bukan juga mengharapkan balasan atas jasa-jasa mereka, yang hanya dimahukan cukuplah anak-anak murid mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan tanahair.

Sejarah setiap Negara dalam menyambut hari guru adalah berbeza-beza seperti di Malaysia sambutan hari guru adalah sempena Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita yang dikenali sebagai laporan Razak pada tahun 1956. Di Negara Amerika Latin Hari guru sempena memperingati kematian Domingo Faustino Sarmieto seorang pendidik dan ahli politik Argentina. Manakala di Negara Czezh Republik Hari Guru disambut sempena hari lahir Jan Ámos Komenský dan begitu juga dinegara-negara lain yang mempunyai sejarah tersendiri dalam meraikan hari guru.

Tugas guru bukanlah satu tugas yang mudah dalam mendidik anak bangsa, sehingga ada usul dikeluarkan supaya guru mempunyai bidangkuasa yang luas diluar sekolah dan waktu persekolahan dalam mendidik anak bangsa. Ini kerana melihat gelagat pelajar sekolah hari ini yang begitu liar dengan budaya-budaya hedonism yang mampu melumpuhkan perjalanan sistem pendidikan kita pada hari ini. Ini berikutan kes-kes ponteng, hisap rokok, vandalism dan budaya negatif mula menyelusup masuk ke sekolah-sekolah secara lansung dan tidak langsung. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab dapat membincangkan samada guru wajar atau tidak bertindak diluar sekolah dan waktu persekolahan.

Sekali lagi PMAPIUM menyokong cadangan berkenaan sambutan hari guru disambut 2 kali setahun iaitu Sambutan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei dan Sambutan Hari Guru Sedunia pada 5 Nov. Ini merupakan langkah bijak yang mana Sambutan Hari Guru diperingkat kebangsaan dan dunia adalah agar mereka lebih berdaya saing dan bertungkus lumus mendidik anak bangsa Malaysia dalam proses pembentukan nilai insani dalam diri melalui sistem pendidikan.
Exco Akademik Dan Intelektual,
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Thursday, September 4, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelummu agar kamu bertaqwa”.

[ Surah al-Baqarah : 183 ]

Assalamualaikum w.b.t. dan salam muhibbah,

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya, kita dipanjangkan usia dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan al-Mubarak.

Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.Ia melatih setiap anggota tubuh melakukan amal ibadah dan menghindar maksiat.Bukan sahaja setakat bulan Ramadhan malah sepanjang tahun yang mendatang.

Sesungguhnya kedatangan Ramadhan menjanjikan pelbagai tawaran, ganjaran dan kelebihan bagi jiwa, jasad mahupun mental setiap Muslim. Antaranya ialah melalui amalan bersahur, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan ”.Menerusi hadis ini, bersahur dikaitkan dengan keberkatan yang bermaksud rahmat dan keredhaan Allah.

Tidak ketinggalan, amalan sunat seperti bertadarus, solat sunat tarawih dan berqiamullail dapat menambahkan pahala yang berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini. Tambahan pula, tawaran mendapatkan keberkatan malam Lailatulqadar sentiasa terbuka luas.

Menerusi hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “ Allah telah berfirman,Setiap amalan anak Adam itu baginya ( ganjaran pahala yang ada hadnya ), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar.Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan : ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya “.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Justeru, marilah kita tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa kita. Mudah-mudahan objektif ketaqwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar dapat dicapai dan dihayati. Rebutlah setiap masa dan peluang di bulan penuh keberkatan ini untuk melakukan amal ibadah kerana kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu semula dengan Ramadhan atau sebaliknya.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM “

IZZAT AMIN MOHD NASIR
YDP PMAPIUM 08/09

Wednesday, September 3, 2008

Agenda Bulan Ramadhan 1429 H


Alhamdulillah marilah kita mengatur rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati perasaan untuk berada di dalam Bulan Ramadhan pada tahun ini. Inilah peluang untuk membersihkan diri dan mendidik hati agar terus mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Sukarlah saya memfokuskan peringatan kepada perancangan pada Bulan Ramadhan bagi tujuan peningkatan diri dan mengembangkan potensi untuk menjadi hamba Rabbani. Ada beberapa perkara yang perlu kita lihat dan check dalam senarai semak perancangan Ramadhan kita. Kita lihat sama-sama :

1] Niat – Pasang niat dan berazam untuk menjadikan Ramadhan ini yang terbaik.
2] Banyakkan bertaubat dan istighfar. Memohon agar Allah SWT ampun segala dosa.
3] Al-Qur’an – Memperbanyakkan membaca Al-Quran. Tadabbur dan hayati makna.
4] Zikrullah sentiasa dilazimi dimana sahaja kita berada.
5] Jadikan Ramadhan sebagai Bulan Dakwah.
6] Solat Sunat Tarawih diperbanyakkan dan kalau boleh jangan ditinggalkan.
7] Banyakan bersabar dan bersabar.
8] Latih untuk banyak berinfaq.
9] Pergiatkan ibadah pada 10 malam terakhir dan beriktikaf.
10] Jaga kesihatan dengan baik. Kurangkan makan dan minum.

Sedikit Pesanan : “ Jadilah Hamba Allah bukannya Hamba Ramadhan.”

Sunday, August 31, 2008

Hakikat Merdeka

Assalamualaikum w.b.t dan salam kemerdekaan,

Tanggal 31 Ogos menjelma lagi. Tarikh keramat yang saban tahun mengisi kalendar sebagai tarikh kemerdekaan tanah air tercinta kita, iaitu Malaysia.Pelbagai kejayaan,kegemilangan dan perubahan telah dilakar seiring usia kemerdekaan yang menganjak ke 51 tahun ini.

Maka, sejajar dengan kematangan usia ini seharusnya bangsa Malaysia khususnya umat Islam tidak terleka,cuai atau lalai dalam arus globalisasi masa kini. Kemerdekaan yang kita kecapi kini bukan sahaja perlu dipertahankan malah kita perlu mengelakkan dari ancaman penjajahan fizikal, pemikiran dan jiwa. Bukan sahaja sekadar sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang untuk tempoh tertentu, siaran program dan rancangan televisyen berkaitan kemerdekaan, konsert-konsert hiburan dan laungan ‘merdeka’ di Dataran Merdeka semata-mata. Oleh itu, peluang mengecapi kebebasan ini wajib diisi dan dihayati dengan bijaksana dan penuh kebertanggungjawaban.

Selaku mahasiswa Islam, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa masyarakat mengharapkan kita untuk menjadi pencorak masa hadapan yang lebih gemilang. Namun, siapa yang harus dipersalahkan apabila wujud segelintir mahasiswa Islam yang menonjolkan imej bangsa penjajah, mengamalkan gaya hidup dan pemikiran Barat, terjebak dengan dunia dadah dan pelacuran lantas hilang langsung identiti serta semangat cintakan Allah dan rasulNya.Kita susuri kembali hakikat sebenar merdeka bagi seorang muslim.Hakikat sebenar merdeka itu adalah apabila seorang muslim itu tunduk dan patuh kepada perintah Allah .Di dalam hatinya hanya ada Allah. Merdeka bagi seorang muslim adalah apabila dia berjaya memerdekakan dirinya daripada perhambaan kepada manusia yang zalim dan tuntutan-tuntutan duniawi yang melalaikan. Malah merdeka bagi seorang muslim juga adalah apabila menjadi ’abdun yang soleh dan berjaya menundukkan dirinya kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, marilah kita membina kehebatan dalam nilaian dan pandangan Allah.Apalah gunanya kita membina kehebatan dan kemerdekaan di mata manusia,sedangkan di pandangan Allah kita merupakan insan yang jelik dan hina di atas jenayah, dosa dan noda yang kita lakukan di atas muka Bumi ini. Akhir kata, renung-renungkan kembali dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM”

IZZAT AMIN BIN MOHD NASIR

YDP PMAPIUM SESI 08/09

Wednesday, August 27, 2008

Mencari Erti Merdeka di Bulan Ramadhan

“Adik..apa maksud merdeka?” saya bertanya seorang budak berusia lingkungan 8 tahun.

“Merdeka?.. Hmm.. Negara bebas dari penjajah.” Jawabnya.

“Encik, apa erti kemerdekaan bagi rakyat negara kita?” soal saya kepada seorang pemandu teksi pula.

“Negara kita merdeka dari belenggu penjajahan. Kita tahu, sebelum ini penjajah British dan Inggeris telah menguasai Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin kita berjaya mendapat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957. Perjuangan mereka mendapatkan kemerdekaan perlu dihargai..”

Dua soalan saya tanya pada dua individu berbeza. Satu soalan pada generasi pasca-merdeka, dan satu lagi kepada generasi sebelum merdeka.

Jawapannya berlainan.


Kita selalu mendengar cakap-cakap, khususnya dari pemimpin negara atau generasi yang sudah melewati fasa-fasa kemerdekaan (lahir lebih kurang pada 1940-an), katanya generasi sekarang tidak faham apa erti merdeka yang sebenar. Sebabnya, mereka tidak mengharungi jerih-payah orang-orang dulu memperjuangkan tanah air dari penjajahan.

Orang dulu rasa makan ubi kayu dengan gula. Minum kopi pahit dan rasa penampar Jepun. Tapi generasi sekarang tidak.

Bagi generasi ‘lama’ ini, dengan menghayati susah payah ini (yang mengalaminya) adalah orang yang paling faham maksud kemerdekaan.

Saban tahun, bila menjelangnya ulangtahun ini, media massa akan memutarkan dokumentari perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan. Pastinya yang terpapar adalah suara laungan ‘Merdeka!’ Tunku Abdul Rahman, peperangan Mat Kilau menentang orang putih dan Tragedi Bukit Kepong.

Makna Merdeka Sebenar

Dr Burhanuddin al-Helmi mengungkapkan dalam pantun pusakanya yang masyhur:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Adakah dengan kejayaan menghalau penjajah kulit putih,sudah dianggap merdeka?


Inikah maksud merdeka?


Atau juga dengan berjaya membentuk pemerintahan sendiri juga adalah bebas merdeka?

Dahulunya, kita menderita dengan ketakutan, di mana askar-askar Jepun yang akan memenggal kepala orang-orang yang ingkar dengan perintah mereka. Begitu jua pemerintahan British yang merampas hak-hak orang Melayu dan ketuanan rakyat Tanah Melayu. Rakyat dipaksa bekerja berat, anak-anak gadis takut dan bimbang diperlakukan penjajah.

Apa beza dahulu dengan kini?

Bukankah kini, rakyat juga sering diselubungi ketakutan dan kebimbangan dengan kes-kes dan tragedi ngeri berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, buang anak, pecah rumah, kecurian, rompak dan macam-macam lagi.

Apa erti merdeka sebenarnya?

Belajar Erti Merdeka pada Ramadhan

Ramadhan kali ini datang selepas kemerdekaan. Untungnya rakyat Malaysia dapat bercuti dua hari.

Bulan Rejab sudah lama berlalu. Kini, Syaaban mula mahu beransur pergi. Yang mengganti, bulan Ramadhan. Namun, itu tidak pasti lagi, kerana ia masih belum menjelma. Cuma doakan kita bisa ketemuinya.

Apa yang pasti, sudahkah kita bersedia menyambutnya seperti hebatnya persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan?

Yang penting, kita boleh dapat banyak pengajaran dalam bulan yang mulia ini. ‘Sekolah’ yang mendidik jiwa dan perangai. Membaiki paradigma dan kebebasan. Inilah makna kemerdekaan sebenar.

Bebas dari hawa nafsu. Merdeka dari pemikiran yang bertuhankan emosi dan kejahatan. Jauhkan diri dari akhlak dan moral yang buruk dan terkutuk. Membina jati diri bagi jiwa yang benar-benar merdeka.

Semoga kemerdekaan yang disambut dirai dengan jiwa kebebasan dan kemerdekaan Ramadhan yang mulia..

Salam Kemerdekaan ke-51, dan
Salam Ramadhan 1429.
Mohd Aizat Bin Saleh
AJK Kesenian dan Kreativiti PMAPIUM

Monday, August 25, 2008

Marhaban Ya Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan.... Marhaban barasal dari kata rahb yang berarti luas atau lapang. Marhaban menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan diterima dengan lapang dada, dan penuh kegembiraan. Marhaban ya Ramadhan (selamat datang Ramadhan), mengandungi arti bahwa kita menyambut Ramadhan dengan lapang dada, penuh kegembiraan, tidak dengan keluhan.


Rasulullah sendiri senantiasa menyambut gembira setiap datangnya Ramadhan. Dan berita gembira itu disampaikan pula kepada para sahabatnya seraya bersabda:
“Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardlukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh setan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan” (Hr. Ahmad)


Marhaban Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci itu, karena kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh guna melanjutkan perjalanan menuju Allah swt. Perjalanan menuju Allah swt itu dilukiskan oleh para ulama salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Ada gunung yang harus didaki, itulah nafsu. Digunung itu ada lereng yang curam, belukar yang hebat, bahkan banyak perompak yang mengancam, serta iblis yang merayu, agar perjalanan tidak dilanjutkan. Bertambah tinggi gunung didaki, bertambah hebat ancaman dan rayuan, semakin curam dan ganas pula perjalanan.


Tetapi, bila tekad tetap membaja, sebentar lagi akan tampak cahaya benderang, dan saat itu akan tampak dengan jelas rambu-rambu jalan, tampak tempat-tempat yang indah untuk berteduh, serta telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga. Dan bila perjalanan dilanjutkan akan ditemukan kendaraan Ar-Rahman untuk mengantar sang musafir bertemu dengan kekasihnya. Untuk sampai pada tujuan tentu diperlukankan bekal yang cukup. Bekal itu adalah benih-benih kebajikan yang harus kita tabur didalam jiwa kita. Tekad yang keras dan membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadhan dengan shalat dan tadarrus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama.
.
Exco Kesenian Dan Kreativiti

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO