Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Saturday, May 30, 2009

KEPIMPINAN PMAPIUM 09/10



Tahniah & Takziah kepada kepimpinan baru PMAPIUM 09/10..Semoga dapat merealisasikan visi & misi baru bagi membawa APIUM ke mata masyarakat agar dapat dikenali bukan sahaja dari segi akademik atau akhlaknya bahkan dari segala segi yang positif. Akhir kalam,semoga kepimpinan pada kali ini dapat meneruskan perjuangan kepimpinan yang dahulu dan membuat satu impak kepada mahasiswa APIUM. "Memimpin Mahasiswa Muslim" :)

Thursday, May 28, 2009

MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI DAN POTENSI DIRI


Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir pada hari pertama penganjuran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Karnival tersebut yang dianjurkan selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei lalu disertai oleh lebih 600 buah syarikat yang menawarkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan untuk direbut graduan. pada hari ini, dianggarkan terdapat lambakan lebih 60,000 graduan yang sekurang-kurangnya memiliki ijazah dan diploma yang masih belum mempunyai sebarang pekerjaan selepas tamat pengajian. Angka-angka ini jelas membuktikan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini masih berada pada tahap membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Fenomena yang disebutkan di atas juga turut melibatkan sebahagian daripada para graduan yang mengambil jurusan dalam bidang pengajian Islam. Persoalan yang timbul di sini ialah mampu kah para graduan ini bersaing untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja yang semakin terhad pada hari ini? Dan apakah segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas selama beberapa tahun di universiti masih belum dapat menjanjikan pekerjaan kepada mereka?.

Realitinya, fenomena ijazah susut nilai sudah tidak dapat disangkal lagi. Sesebuah organisasi dan majikan sama ada dari sektor kerajaan atau swasta pada hari ini bukan sahaja melihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang sahaja, tetapi mereka lebih menitikberatkan kepada lima ciri penting iaitu kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri, personaliti, pengalaman dan kemahiran khusus yang lain (soft skill).

Para mahasiswa seharusnya memperlengkapkan diri mereka dengan semua ciri-ciri di atas jika mahu mendapatkan pekerjaan pada ketika ini. Mereka perlulah berusaha meningkatkan kemahiran dalam aspek komunikasi iaitu dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab atau bahasa Mandarin. Dengan memiliki kemahiran komunikasi ini, pastinya seseorang graduan itu akan mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi ketika menghadiri temu duga seterusnya mampu memikat majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Para mahasiswa pengajian Islam juga perlulah memiliki kemahiran ataupun soft skill yang pelbagai contohnya kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam era ledakan teknologi maklumat sekarang, setiap syarikat amat memerlukan individu yang berkemahiran dalam mengendalikan komputer serta perisiannya termasuklah pengendalian laman web dan sebagainya. Jika mahasiswa pengajian Islam dapat menguasai bidang ini, sudah pasti mereka mempunyai kelebihan berbanding mereka yang datang dari disiplin pengajian yang lain.

Para mahasiswa pengajian Islam juga perlulah melibatkan diri mereka dalam persatuan-persatuan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sama ada di peringkat kolej, fakulti, mahupun nasional. Dengan penyertaan ini, mahasiswa akan berpeluang melalui proses sosialisasi dan pendedahan berinteraksi dengan lebih baik dalam suasana yang sebenar. Hal ini pastinya dapat melahirkan graduan yang mampu berdikari dan ‘kebal’ dalam menghadapi suasana persaingan yang sengit pada hari ini.

Selain itu, PMAPIUM juga berpendapat sudah sampai masanya sistem pengajian di peringkat universiti malah mungkin di peringkat sekolah dikaji semula supaya prosesnya tidak hanya terlalu berorientasikan kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya menitikberatkan soal kemahiran dan pembentukan nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan pelajar. Sudah sampai masanya para mahasiswa di universiti diberikan lebih peluang kepada mereka untuk terlibat dalam kancah masyarakat tanpa sebarang gangguan sama ada melalui ugutan pihak pentadbiran universiti ataupun akta yang sebelum ini dilihat sebagai batu menghalang daripada lahirnya pelajar yang mempunyai nilai personaliti yang mantap dan mempunyai ‘ critical thinking’ dan ‘maturity of thought’ yang amat diperlukan pada hari ini.

Kesimpulannya, pengangguran dan fenomena ijazah susut nilai dapat dielakkan sekiranya para graduan sendiri dapat meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka. Para siswazah tidak boleh lagi berada dalam kepompong yang lama, sebaliknya perlu terus berusaha dalam memajukan dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran dan kriteria yang diperlukan untuk terus bersaing dalam menempatkan diri mereka dalam sektor pekerjaan.

Zulkefly bin Said

Exco akademik dan intelektual

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO