Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Thursday, September 4, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelummu agar kamu bertaqwa”.

[ Surah al-Baqarah : 183 ]

Assalamualaikum w.b.t. dan salam muhibbah,

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya, kita dipanjangkan usia dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan al-Mubarak.

Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.Ia melatih setiap anggota tubuh melakukan amal ibadah dan menghindar maksiat.Bukan sahaja setakat bulan Ramadhan malah sepanjang tahun yang mendatang.

Sesungguhnya kedatangan Ramadhan menjanjikan pelbagai tawaran, ganjaran dan kelebihan bagi jiwa, jasad mahupun mental setiap Muslim. Antaranya ialah melalui amalan bersahur, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan ”.Menerusi hadis ini, bersahur dikaitkan dengan keberkatan yang bermaksud rahmat dan keredhaan Allah.

Tidak ketinggalan, amalan sunat seperti bertadarus, solat sunat tarawih dan berqiamullail dapat menambahkan pahala yang berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini. Tambahan pula, tawaran mendapatkan keberkatan malam Lailatulqadar sentiasa terbuka luas.

Menerusi hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “ Allah telah berfirman,Setiap amalan anak Adam itu baginya ( ganjaran pahala yang ada hadnya ), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar.Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan : ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya “.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Justeru, marilah kita tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa kita. Mudah-mudahan objektif ketaqwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar dapat dicapai dan dihayati. Rebutlah setiap masa dan peluang di bulan penuh keberkatan ini untuk melakukan amal ibadah kerana kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu semula dengan Ramadhan atau sebaliknya.

“ SEIRING BERSAMA PMAPIUM “

IZZAT AMIN MOHD NASIR
YDP PMAPIUM 08/09

Seja o primeiro a comentar

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO