PEMIMPIN ASET ORGANISASI BERKUALITI
Sepertimana yang kita ketahui, setiap orang merupakan pemimpin baik kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Terdapat dalam satu hadis Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya “ setiap orang adalah pemimpin dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya ” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim). Kepimpinan adalah suatu peranan dan juga merupakan suatu proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin dapat ditakrifkan daripada pelbagai aspek. Antaranya, Pemimpin adalah anggota dari suatu perkumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan diharapkan dapat bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga boleh menggunakan kedudukannya itu untuk bertindak atas sesuatu perkara tetapi hendaklah mengikut syariat islam.
Pada hari ini, kita dapat melihat dan menyaksikan ramai orang berlumba-lumba dan berebut-rebut inginkan kuasa baik di peringkat tinggi hattapun di peringkat rendah. Contohnya, perebutan kuasa politik yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini seolah-olah menunjukkan pemimpin sekarang begitu dahagakan pangkat dan kuasa memerintah. Begitu juga kita dapat melihat realitinya di dalam sesebuah organisasi, badan dan persatuan. Kebanyakan individu ingin berada di kedudukan tinggi kerana menyangkakan dengan mempunyai kedudukan, kehidupannya akan menjadi lebih senang, dipandang tinggi dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, untuk golongan yang menjadi pemimpin ini akan menghadapi kehidupan yang lebih perit yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata manis di bibir. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Sumrah, Rasulullah telah mengingatkan manusia dengan menyebut “ La tasalul imaarah ” yang membawa maksud jangan kamu meminta-minta jawatan kerana Allah tidak akan menolong orang yang meminta-minta jawatan itu berbanding dengan orang yang diberikan jawatan oleh orang lain tanpa dia sendiri memintanya, maka Allah akan menolongnya terhadap urusan dan amanah yang terpaksa dipikulnya.
Jika kita sama-sama telusuri sirah perjuangan Rasulullah S.A.W, kita akan mendapati bahawa bagindalah yang merupakan pemimpin yang paling agung yang patut dijadikan role model. Walaupun baginda telah lama meninggalkan kita semua, namun obor kepimpinannya tetap bersinar memberi cahaya kepemimpinan kepada sesiapa sahaja yang ingin kepada kesejahteraan. Rasulullah telah meninggalkan kepada kita Al-quran sebagai asas kepemimpinan cemerlang dan sunnahnya yang menjadi bahan ikutan dan contoh teladan kepada manusia sejagat. Antara prasyarat kepemimpinan yang berkualiti ialah Penghayatan Budaya Ilmu. Syarat ini perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar pemimpin dengan segala tindak tanduknya hendaklah bersandarkan ilmu. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah berkait rapat dengan ilmu iaitu :
“ Bacalah wahai Muhammad dengan nama tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari seketul darah beku. Bacalah dan tuhanmu yang amat pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia dari apa yang tidak diketahuinya.”(maksud surah Al-Alaq ayat 1-5)
Jadi, syarat ini amat wajar dipenuhi kerana pemimpin bertanggungjawab mengurus dan memimpin institusi atau organisasi. Malanglah sekiranya seseorang itu merupakan seorang pemimpin lebih-lebih lagi jika dia pemimpin kepada sebuah institusi ilmu jika dia sendiri tidak menghayati dan menjurus kepada budaya ilmu.
Pemimpin juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang bawahannya. Seorang pemimpin merupakan cermin kepada masyarakat. Dirinya, tutur katanya serta tingkah lakunya akan menjadi ikutan kepada anak buahnya. Jadi , amat penting di sini seorang pemimpin itu harus berwaspada dengan segala gerak-geri dan perkataan yang ingin keluar dari bibirnya kerana dibimbangi orang-orang bawahannya mengikuti perkara yang salah. Jika hal seperti ini terjadi, susahlah untuk seseorang itu menarik kembali kesalahan tersebut bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlanjur kata buruk padahnya “
Tuntasnya, setiap orang yang bergelar pemimpin masing-masing mempunyai tanggungjawab samada terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Sebagai seorang pemimpin, kita amat perlu kepada perluasan ilmu. Hendaklah kita menyedari taklifan utama Allah S.W.T mengutus kita di muka bumi bertuah ini iaitu sebagai hamba dan khalifahnya. Tidak perlulah kita mengingkari ketentuanNya. Moga-moga Allah sentiasa bersama-sama dengan kita dalam mengharungi segala cabaran dan tribulasi sebagai seorang pimpinan walau di mana jua kita berada, walau dari aspek manapun kita memimpin, dengan bantuan serta pertolonganNya kita dapat tempuhi InsyaAllah.
Disediakan Oleh,
Afifah binti Salleh
Exco Kebajikan & Perpaduan
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment