Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Sunday, August 21, 2011

22 Ramadhan : Hubungan Antara Iktikaf dan Lailatul Qadar






Sepuluh akhir Ramadhan adalah kemuncak rahmat Allah kepada hambaNya,saat dijanjikan orang yang berpuasa dibebaskan daripada api neraka.Salah satu amalan sunnah yang penting pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan ialah beriktikaf di masjid.Iktikaf ialah usaha mendiami dan menetap diri di dalam masjid dari seseorang tertentu denagn cara-cara tertentu.



Sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w yang amat bersungguh-sungguh dalam amalannya sehingga diriwayatkan bahawa baginda mengikatkan kemas kainnya dan mengejutkan para keluarganya untuk sama-sama beramal dan beribadah menghayati malam-malam tersebut (Riwayat Bukhari).



Iktikaf yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w bukanlah perkara baru, ia adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana seperti juga solat dan tawaf(haji), iktikaf merupakan kelanjutan dari risalah Nabi Ibrahim a.s.



Mengapa Nabi s.a.w memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, tidak pada 10 hari pertama Ramadan. Mungkin ia berkait rapat dengan kemuncak ibadah puasa yang makin bersemarak pada 10 hari terakhir Ramadan. Dan yang terpenting ialah ia berkait rapat dengan Lailatul Qadar. Untuk mendapatkan Lailatul Qadar, ia tidak cukup dengan bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu sahaja. Ia harus dirintis dari awal, sehingga kita benar-benar secara rohaniah bersedia menerima kedatangannya. Dengan demikian ada hubungan erat antara iktikaf dan Lailatul Qadar.



Asas disyarakkan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan ialah :



1.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ.

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A (Isteri Rasulullah SAW) bahawa Nabi SAW selalu beriktikaf pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan hingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (Muttafaq 'Alaih (Al-Bukhari 2026, Muslim / 1772).



2.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قال : كَاْنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَعْتَكِفُ فِيْ كُلِّ رَمَضَانٍ عَشْرَةَ أَيَّامِ . فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِيْ قُبِضَ فِيْهِ اعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْمًا.



Maksudnya : Daripada Abi Hurairah R.A, ia berkata : Adalah Nabi SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadhan sepuluh hari (akhirnya). Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf dua puluh hari. (Sohih Al-Bukhari 2024)


Dengan itu, nyatalah bahawa iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat yang diamalkan secara berkekalan oleh Nabi SAW dan para isterinya, juga oleh para sahabatnya R.A.



Rasulullah s.a.w terus melakukan amalan ini sehingga akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut diteruskan oleh isteri-isterinya. Ini menunjukan juga bahawa iktikaf bukan hanya untuk kaum lelaki. Dan memang perlu diketahui bahawa di dalam al-Quran, masalah ibadah lelaki dan perempuan tidak pernah dibezakannya. Dan yang penting khusus bagi kaum perempuan selama di masjid tempat iktikaf itu tersedia segala kemudahan seperti bilik tempat bertukar pakaian, bilikmandi, tempat tidur yang tertutup bagi memudahkan mereka untuk beriktikaf. Tetapi harus diingat ia harus dilakukan atas dasar musyawarah dengan suami atau anak-anak kerana perempuan ada tanggungjawab rumah tangga.



Bagi Nabi s.a.w, Lailatul Qadar adalah tamu agung yang harus disambut dengan cara-cara yang agung juga. Justeru itu, baginda melakukan iktikaf, meninggalkan semua aktiviti dan tinggal di masjid. Satu riwayat menceritakan bahawa Nabi s.a.w meninggalkan masjid hanya jika ada urusan dengan dua perkara, iaitu menziarahi orang mati dan menjenguk sahabat yang sakit tenat sahaja.



Iktikaf bukanlah untuk berdiskusi, apalagi untuk bercakap-cakap kosong. Bukan juga tempat istirahat dan tidur. Iktikaf adalah bersungguh-sungguh bermuhasabah diri atau berlumba-lumba menperbanyakkan ibadah. Walaupun iktikaf yang sedang kita bicarakan ini adalah dalam kaitannya dengan bulan puasa, tetapi tidak ada salahnya kalau ia hendak dilakukannya di luar bulan Ramadan, selagi tidak mengabaikan diri daripada tanggungjawab sosial.



Selama beriktikaf itu kita bertafakur, merenung diri sendiri, tentang hakikat diri kita ini, dari mana, di mana, dan akan ke mana. Ada ungkapan dan sebahagian menyebutnya hadis, iaitu: “Barangsiapa yang mengenal dirinya nescaya akan mengenal Tuhannya.” Tafakur jenis kedua adalah dengan merenungkan alam ciptaan-Nya. Kalau yang pertama untuk melahirkan kesedaran diri, maka yang kedua ini melahirkan pandangan dunia (world view).



Akhir sekali, marilah sama-sama kita beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan nescaya kita dikurniakan Lailatul Qadar dan kelebihannya yang banyak, Aaminn.




Seja o primeiro a comentar

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO