Asalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.. semoga blog ini sedikit sebanyak mmberi manfaat kepada anda.. Insyaallah.

Saturday, January 29, 2011

Kesan ETP kepada anak remaja


Kesan ETP kepada anak remaja

Usaha kerajaan melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai strategi bagi meningkatkan pendapatan Negara adalah suatu usaha yang amat progresif. Di samping itu, pertambahan peluang pekerjaan adalah antara kesan baik apabila projek ini menjanjikan 3.3 juta pekerjaan baru menjelang tahun 2020.

Namun, kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) melahirkan rasa bimbang terhadap usaha transformasi ekonomi melalui industri pelancongan. EPP ke-8 dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Pelancongan menyasarkan penubuhan enam kelab malam baru yang bakal menampung 900 pengunjung menjelang awal tahun 2012. Dua lagi akan beroperasi pada tahun 2013 dan 2014. Menjelang tahun 2014, disasarkan sekurang-kurangnya 10 kelab malam akan beroperasi di zon hiburan baru hasil daripada projek ini.

Meskipun RM0.7 bilion pendapatan Negara kasar (GNI) akan diperoleh serta 5600 peluang pekerjaan akan ditawarkan menjelang tahun 2020, ia dilihat suatu yang bertentangan dengan cita-cita Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia maju dengan gaya dan acuan tersendiri. Sebagai sebuah Negara Islam dan mejoriti rakyat beragama Islam, usaha menambahkan lagi pusat-pusat hiburan ini tidak dilihat selari dengan amalan dan nilai budaya Negara ini.

KARISMA menggesa agar kerajaan melihat dengan teliti kesan sosial yang bakal berlaku apabila pusat-pusat hiburan sebegini ditambah. Dari sudut ekonomi, ia mungkin menguntungkan Negara, tetapi dari sudut sosial, tiada yang dapat menafikan bahawa kebejatan sosial juga pasti bertambah. Suasana hiburan melampau hari ini dan kesannya kepada masyarakat seharusnya sudah cukup membimbangkan kita semua apabila kes rempit, rogol, dadah , ragut, samun , perkosa dan lain-lain tidak menunjukkan penurunan.

KARISMA mendesak agar kerajaan membuktikan sumbangan langsung kepada pembangunan Negara yang diperoleh daripada pembukaan kelab-kelab malam selain dari sudut ekonomi dan peluang pekerjaan.

Pelbagai industri yang bertentangan dengan nilai moral dan agama juga mendapat keuntungan hasil pembukaan hab hiburan dan kelab malam ini. Selama ini kerajaan berusaha bersungguh-sungguh membendung budaya-budaya negatif, namun sebaliknya, ruang yang disediakan cukup luas untuk masalah ini berkembang. Siapakah yang dapat menjamin bahawa pembukaan hab hiburan baru dan pertambahan kelab malam ini akan menjadikan rakyat Malaysia sebuah masyarakat lebih berakhlak mulia?

Adalah lebih baik sekiranya wang ringgit untuk zon hiburan ini dilaburkan pada ruang yang lebih sihat seperti memajukan lokasi-lokasi yang melambangkan budaya Negara Malaysia bersesuaian dengan tuntutan agama. Nilai positif dan berakhlak harus diterapkan dalam memajukan sektor pelancongan Negara sesuai dengan budaya tinur yang terlah sekian lama diamalkan. Pendekatan holistik dan bersepadu juga harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam membina sebuah Negara yang maju baik dari aspek material mahupun moral masyarakat.

Ayat Al-Quran dalam surah Saba’ ayat ke-15 yang menyebut : “Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun”.

Kita mahukan Negara yang baik di sisi Allah yang akhirnya memberikan keampunan buat rakyatnya. Hanya dengan keredhaan Tuhan sahaja akan menjadikan Negara ini sentiasa sejahtera dan makmur.

Abdullah Omar Muhamad Fuad
Presiden KARISMA NASIONAL 2010

ulasan di majalah SOLUSI (Bahagian Respon, Isu. no 27)


Seja o primeiro a comentar

PMAPIUM ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO